Topik diikuti
Pergi ke BHkuBukan sekadar jamu tamu, majlis kahwin Gen Z utamakan pengalaman
Muslim Delights tawar ‘live station’ dengan pilihan 15 jenis hidangan masakan tradisional Nusantara dan Barat, untuk pilihan pasangan muda
Bukan sekadar jamu tamu, majlis kahwin Gen Z utamakan pengalaman
Nasi beriani, ayam masak merah dan nasi minyak mungkin masih menjadi hidangan utama dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu/Islam, namun cita rasa pasangan muda kini semakin berubah.
Daripada nasi kerabu, lempeng dan pasta, hinggalah kepada pelbagai pilihan pencuci mulut, pasangan muda khususnya daripada Generasi Z atau Gen Z kini mahukan pengalaman menjamu selera yang lebih interaktif dan mencerminkan cita rasa peribadi mereka.
Menurut Pengarah Muslim Delights, Encik Zubair Hassan, 44 tahun, perubahan itu mencerminkan bagaimana majlis perkahwinan Melayu/Islam semakin berkembang daripada konsep bufet tradisional kepada pengalaman yang lebih menyeluruh buat tetamu.
“Kalau dahulu kita selalu fikir tentang nasi beriani, nasi minyak dan ayam masak merah, sekarang mereka mahukan sesuatu yang berbeza seperti ‘live station’ (tempat menyediakan makanan secara langsung) nasi lemak dan nasi kerabu.
“Sajian makanan seperti ini memberikan pengalaman yang berbeza, hampir seperti bufet di hotel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita Harian (BH) sempena pameran perkahwinan Muslim Delights di Safra Choa Chu Kang pada 11 Oktober.
Menurut Encik Zubair, jika dahulu majlis perkahwinan lazimnya menawarkan sekitar lima hingga enam jenis lauk-pauk, pasangan mempelai kini boleh memilih sehingga 14 atau 15 jenis hidangan, termasuk masakan tradisional Nusantara dan sajian Barat.
Antara hidangan yang diketengahkan ialah daging salai, lemak nangka selain pelbagai jenis sambal yang jarang disajikan dalam bufet perkahwinan traditional.
“Kalau kita lihat, nasi beriani masih menjadi pilihan utama. Tetapi sekarang kita sudah melangkaui nasi beriani dan nasi minyak sahaja.
“Kalau pasangan masih mahukan nasi beriani, kita sediakan. Kalau mereka mahukan kelainan seperti hidangan Nusantara, kita juga boleh gabungkan dalam majlis yang sama,” jelasnya.
Menariknya, di sebalik keinginan pasangan muda mencuba konsep baharu, makanan tradisional juga dilihat kembali mendapat tempat.
“Hidangan kampung seperti nasi kerabu, daging salai dan masakan lemak kini menjadi antara pilihan yang boleh diketengahkan bagi memberikan kelainan kepada menu perkahwinan.
“Kalau kita lihat sekarang, makanan tradisional seperti nasi kerabu dan hidangan kampung seolah-olah membuat kemunculan semula.
“Bukan makanan sahaja, malah hiasan dan tema lama juga semakin mendapat perhatian pasangan Gen Z,” kongsinya.
Selain makanan, Encik Zubair berkata pasangan Gen Z juga semakin memberikan perhatian kepada pengalaman keseluruhan tetamu, termasuk kegiatan sampingan seperti seni belon, lukisan muka dan ruang bergambar.
“Kalau kita lihat, sesetengah majlis perkahwinan sekarang sudah macam satu karnival.
“Dahulu kita ada buku tetamu, tetapi sekarang ia berkembang kepada ruang bergambar, rakaman suara dan juga konsep kamera 360 darjah,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman mengendalikan sebuah majlis perkahwinan yang menampilkan pelbagai stesen makanan sehingga ada yang bertanya sama ada acara tersebut merupakan pasar malam.
“Generasi muda ini mahukan sesuatu yang berbeza. Perbezaan itu boleh datang daripada pelbagai aspek dan salah satunya ialah makanan.
“Kadangkala apabila kita pergi ke majlis perkahwinan, suasananya sudah seperti sebuah karnival dengan pelbagai kegiatan untuk tetamu,” katanya.
Namun, Encik Zubair berkata perubahan tersebut tidak bermakna pasangan muda mahu meninggalkan sepenuhnya unsur tradisional dalam majlis perkahwinan mereka.
Sebaliknya, kebanyakan pasangan memilih untuk menggabungkan hidangan tradisional dengan ‘live station’ makanan moden bagi memenuhi cita rasa pelbagai generasi.
“Kadangkala ibu bapa mahukan nasi beriani tradisional, tetapi anak pula mahukan pasta.
“Jadi, mengapa tidak kita kekalkan bufet tradisional dan pada masa yang sama sediakan ‘live station’ pasta?” katanya.
Menurut beliau, cabaran utama dalam merancang menu perkahwinan ialah mengimbangi kehendak pasangan pengantin dengan cita rasa ibu bapa, saudara-mara, serta para tetamu.
Ini termasuk menasihati keluarga mengenai pilihan makanan dan kegiatan sampingan yang bersesuaian dengan jumlah tetamu serta ruang majlis.
“Walaupun pengantin menjadi tumpuan utama, majlis perkahwinan turut melibatkan ibu bapa dan saudara-mara.
“Kadangkala ibu bapa mempunyai satu kehendak, manakala anak-anak pula mempunyai idea berbeza.
“Jadi, penting untuk kita mendengar pandangan semua pihak,” ujarnya.
Sepanjang pengalamannya dalam industri katering, Muslim Delights juga pernah mengendalikan majlis perkahwinan pasangan berlainan bangsa yang memilih konsep hidangan tiga sajian mengikut gaya Barat.
Hidangan itu dimulakan dengan sup, diikuti sajian utama dan diakhiri dengan pencuci mulut, berbeza daripada konsep bufet yang lazim dalam majlis perkahwinan Melayu.
“Walaupun kita sudah lama dalam industri ini, tidak ada dua majlis perkahwinan yang benar-benar sama kerana setiap keluarga mempunyai kehendak dan cita rasa tersendiri,” katanya.
Keupayaan Muslim Delights menawarkan pelbagai konsep makanan berakar daripada pengalaman pengasasnya, Cik Hafidah Daud, 56 tahun, yang sejak kecil membantu ibunya mengendalikan sebuah gerai makanan Melayu di kem tentera.
Di situ, beliau mempelajari kemahiran memasak dan mengurus penyediaan makanan dalam jumlah besar untuk anggota tentera.
Selepas mengambil alih perniagaan ibunya, Cik Hafidah bersama suaminya, Encik Zulkifli Mohd Karim, 59 tahun, memindahkan perniagaan mereka ke kawasan perusahaan Sungei Kadut pada 1997.
Perniagaan itu kemudian berpindah ke sebuah kedai kopi di Paya Lebar sebelum beroperasi di rumah kedai di Upper Paya Lebar Road.
Permintaan untuk menyediakan katering majlis perkahwinan dan acara keluarga membuka peluang baharu kepada pasangan tersebut.
Kini, Muslim Delights turut memperluas kehadirannya ke kawasan barat Singapura menerusi ruang acara di Safra Choa Chu Kang.
Menurut Encik Zubair, ini merupakan lokasi pertamanya di kawasan barat, selepas mempunyai beberapa cawangan di kawasan tengah dan utara Singapura.
“Salah satu kelebihan lokasi di Safra Choa Chu Kang ialah kita mempunyai dapur pusat di sini dan menggunakan dewannya untuk mengadakan majlis perkahwinan serta acara lain,” katanya.
Ruang dewan tersebut mampu menampung sekitar 400 tetamu, dengan susunan antara 40 hingga 45 meja.
Selain majlis perkahwinan, kemudahan tersebut boleh digunakan bagi acara masyarakat seperti perjumpaan Hari Raya dan majlis cukur rambut bayi.
Encik Zubair berkata permintaan terhadap majlis perkahwinan berskala besar kembali lagi selepas pandemik Covid-19, dengan sesetengah keluarga mengadakan majlis melibatkan 1,000 hingga 1,500 tetamu.
Bagi memenuhi perubahan cita rasa pelanggan, beliau berkata Muslim Delights perlu terus mengikuti perkembangan trend, khususnya dalam kalangan pasangan muda.
“Kita perlu sentiasa melihat apa yang menjadi trend kerana perubahan cita rasa Gen Z boleh berlaku dengan sangat pantas.
“Tetapi pada masa yang sama, majlis perkahwinan tidak semestinya mengikut trend kerana akhirnya ia bergantung kepada cita rasa pasangan itu sendiri,” katanya.
Namun, biarpun konsep majlis terus berubah mengikut generasi, Encik Zubair percaya bahawa makanan yang enak tetap menjadi antara perkara paling diingati tetamu.
“Tema majlis mungkin cantik dan orang akan memujinya. Tetapi kalau makanan sedap, sampai 10 tahun akan datang pun mereka akan bercerita tentang makanan itu,” katanya.
Rencana ini dibawakan oleh Muslim Delights.