Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahu ubah cara ibu bapa teroka makanan bayi
Mahu ubah cara ibu bapa teroka makanan bayi
Bantu ibu bapa perkenal makanan bertekstur, penuh cita rasa buat si kecil, pupuk generasi lebih berani cuba makanan sambil hargai warisan makanan S’pura
Mahu ubah cara ibu bapa teroka makanan bayi
Daripada membantu ibu meningkatkan bekalan susu badan hinggalah memperkenalkan si kecil kepada rasa makanan tempatan sejak usia enam bulan, dua usahawan tempatan berkongsi kepada Kaki Makan bagaimana makanan mampu memainkan peranan penting dalam setiap fasa awal kehidupan.
Lupakan tanggapan bahawa makanan bayi hanya terhad kepada bubur kosong atau puri di dalam balang dari pasar raya.
Di Plate & Play, bayi seawal usia enam bulan diperkenalkan kepada pelbagai hidangan berinspirasikan masakan tempatan dan antarabangsa.
Hidangan itu termasuk bubur masjid dengan daging, jagung manis dan kacang pea, Fish Congee with Jujube, Broccoli & Mixed Mushrooms, Vegetarian Lasagna with Mushrooms & Spinach serta Fajita-Style Chicken Quinoa Meatballs.
Berpandukan konsep, baby-led weaning (BLW), jenama makanan bayi dan kanak-kanak halal itu membantu ibu bapa memperkenalkan si kecil kepada makanan sebenar yang bertekstur dan penuh cita rasa, sekali gus memupuk generasi yang lebih berani mencuba makanan sambil menghargai warisan makanan Singapura.
Di sebalik jenama itu ialah Pengasas dan Pengarah, Plate & Play, Cik Sharatul ’Ain Azhar, 36 tahun, yang mendapat ilham menubuhkan perniagaan tersebut selepas kelahiran anak sulungnya pada 2019.
BLW ialah pendekatan pemakanan yang menggalakkan bayi makan sendiri menggunakan makanan bertekstur lembut yang sesuai mengikut usia mereka, berbanding hanya disuap puri atau bubur halus.
Kaedah itu memberi peluang kepada bayi mengenali pelbagai tekstur dan rasa, di samping belajar mendengar isyarat lapar dan isyarat kenyang mereka sendiri.
“Saya tertarik kepada BLW kerana kajian menunjukkan ia membantu perkembangan rahang, pertuturan dan keyakinan diri anak.
“Yang paling penting, bayi diberi autonomi untuk makan sendiri dan menentukan bila mereka sudah kenyang,” kata beliau.
Idea menubuhkan Plate & Play lahir secara tidak dirancang.
Ketika mendalami konsep BLW, beliau sering menyediakan hidangan seperti lauk lemak dalam versi mesra bayi untuk anaknya.
“Masa itu ramai kawan nampak makanan yang saya sediakan lalu bertanya, ‘Eh, bayi boleh makan ke?’ Saya sedar sebenarnya ramai ibu bapa berminat, tetapi mereka tidak tahu bagaimana hendak bermula,” katanya.
Beberapa tahun kemudian, ketika hamil anak kedua, beliau berbincang dengan suaminya mengenai hala tuju kerjayanya.
Perbualan itu membuka ruang untuk beliau melihat potensi menjadikan minatnya sebagai sebuah perniagaan.
“Pada masa itu, BLW mula mendapat perhatian di Singapura tetapi pilihan makanan siap dimakan yang menyokong konsep ini masih sangat terhad. Saya nampak ada jurang dalam pasaran.”
Plate & Play bermula sebagai perniagaan dari rumah (HBB) selama kira-kira tujuh bulan sebelum berpindah ke ruangnya sendiri di East Village selepas beliau selesai mengambil cuti menjaga anak keduanya selama setahun.
Selain memudahkan ibu bapa yang sibuk menyediakan makanan berkhasiat, Cik Sharatul ’Ain ingin membantu membentuk tabiat pemakanan yang baik sejak awal usia.
“Kajian menunjukkan pendedahan kepada pelbagai rasa membantu membentuk hubungan anak dengan makanan pada masa depan.
“Saya sendiri membesar sebagai seorang yang sangat cerewet memilih makanan kerana hanya mahu makan nasi dengan ayam.
“Apabila dewasa barulah saya sedar saya tidak didedahkan kepada pelbagai rasa sejak kecil.
“Sebab itu saya mahu anak-anak mempunyai peluang mencuba pelbagai jenis makanan, termasuk memperkenalkan bahan seperti ikan, telur dan kekacang secara berperingkat mengikut kesesuaian usia supaya mereka lebih yakin menerima makanan baharu,” katanya.
Sebagai rakyat yang suka makan, beliau juga percaya makanan tempatan harus diperkenalkan sejak kecil.
“Di Singapura, apa sahaja yang kita lakukan akhirnya berkisar tentang makan. Jadi saya mahu bayi mengenali bubur masjid, ayam masak merah dan rendang atau sama seperti makanan lain.”
Usaha itu mendapat sambutan. Selain menawarkan pelan langganan dengan tiga pilihan saiz bagi memudahkan ibu bapa menerima bekalan makanan secara berkala tanpa perlu membuat pesanan setiap minggu.
Plate & Play turut menyaksikan ramai pelanggan kembali apabila dikurniakan anak kedua dan ketiga.
Malah, hidangan bermusim seperti Signature Baby Rendang kini menjadi antara menu yang dinanti-nantikan setiap Ramadan dan Hari Raya.
“Bagi saya, kejayaan sebenar bukan sekadar menjual makanan, tetapi apabila ibu bapa berkongsi bahawa anak mereka membesar menjadi seorang yang berani mencuba pelbagai hidangan dan menikmati waktu makan bersama keluarga. Itulah matlamat Plate & Play sejak hari pertama,” katanya.
Hidangan Plate & Play dijual pada harga antara $7 dengan $12 yang menawarkan pilihan yang bukan sahaja berkhasiat dan mudah disediakan.
Malah, ia membantu ibu bapa memperkenalkan bayi kepada pelbagai cita rasa tanpa perlu menghabiskan masa berjam-jam di dapur.
Plate & Play
Alamat: 430 Upper Changi Road, #01-61, East Village Mall, Singapura 487048Isnin hingga Ahad, 10 pagi hingga 1 petang dan 2 petang hingga 7 malam