Topik diikuti
Pergi ke BHkuOllella rai sedekad, bawa kuih Indonesia dekat dengan penduduk Tampines
Ollella rai sedekad, bawa kuih Indonesia dekat dengan penduduk Tampines
Sambutan di cawangan OTH memberangsangkan dengan perolehan sijil halal lonjakkan jualan 25%
Ollella rai sedekad, bawa kuih Indonesia dekat dengan penduduk Tampines
Apa yang bermula sebagai usaha Cik Marcella Putri Tanuwijaya menghasilkan semula lapis legit yang sering dibuat bersama neneknya ketika kecil, kini berkembang menjadi Ollella, sebuah jenama halal yang mengetengahkan kuih tradisional Indonesia kepada pelanggan di Singapura.
Ditubuhkan bersama adiknya pada 2016, Ollella pada mulanya memberi tumpuan kepada pastri Perancis.
Namun sambutan luar biasa terhadap lapis legit yang dijual sempena Tahun Baru Cina mengubah hala tuju perniagaan itu.
Lapis legit ialah kek lapis berempah dari Indonesia, yang terkenal dengan puluhan lapisan lapis yang kaya dengan teksturnya yang lembut, rasa mentega dan aroma rempah.
Selepas adiknya berpindah ke Amerika Syarikat pada 2018, Cik Marcella mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kuih-muih warisan Indonesia yang menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil.
“Pada mulanya kami menjual kededua pastri dan kuih-muih.
“Tetapi apabila pandemik Covid-19 melanda, saya membuat keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kuih-muih.
“Sambutannya jauh lebih baik, dan saya sedar inilah makanan yang saya benar-benar minati serta mempunyai potensi besar untuk dikembangkan,” katanya kepada Berita Harian baru-baru ini.
Kini, sempena ulang tahun ke-10, Ollella membuka cawangan keempatnya di Our Tampines Hub (OTH), sekali gus membawa kuih-muih tradisional Indonesia lebih dekat kepada masyarakat di kawasan kejiranan.
Menurut beliau, lokasi tersebut dipilih kerana kepadatan penduduk serta aliran pengunjung yang tinggi.
“Pada mulanya saya sangka sewa di Tampines agak mahal.
“Tetapi pihak OTH menghubungi saya untuk bertanya sama ada saya berminat membuka cawangan di sini.
“Selepas saya datang melihat lokasinya, saya terus membuat keputusan untuk membida ruang tersebut.
“Kawasan kediaman di sini sangat padat.
“Orang ramai boleh singgah membeli kuih untuk dibawa pulang dan hujung minggu pula sambutannya sangat menggalakkan berbanding cawangan lain,” katanya.
Selain mengembangkan rangkaian cawangan, Cik Marcella berkata memperoleh pensijilan halal merupakan antara pencapaian paling penting bagi jenama itu.
Beliau mengakui proses tersebut mengambil masa yang panjang, kerana berdepan cabaran mendapatkan pekerja Muslim sebelum layak memenuhi syarat pensijilan.
“Kami memang sentiasa mahu menjadi halal, tetapi ia seperti situasi ‘ayam dan telur’.
“Kami mahu mengambil pekerja Muslim, tetapi sukar kerana kami belum halal.
“Pada masa yang sama, kami memerlukan perkara itu untuk mendapatkan pensijilan halal,” katanya.
Selepas memperoleh pensijilan halal pada 2025, jualan Ollella meningkat sekitar 25 peratus.
“Ramai pelanggan sebenarnya menunggu kami menjadi halal supaya mereka boleh membuat tempahan untuk pejabat, sekolah dan majlis.
“Kini semuanya lebih mudah diakses oleh pelanggan,” katanya.
Antara produk paling laris ialah kuih dadar, $2.20; Lemper Rendang Ayam, $2.20; Kuih Salat, $1.60; dan Pisang Goreng Madu, selain Signature Spiced Lapis yang dijual pada harga $29.80 bagi 350 gram; dan $115 bagi kek seberat 1.4 kilogram.
Bagi Cik Marcella, keaslian lapis legit terletak pada penggunaan mentega Wijsman, mentega premium dari Belanda, yang telah lama menjadi pilihan pembuat kek tradisional Indonesia.
“Ramai mungkin tidak tahu mentega Wijsman harganya hampir dua kali ganda berbanding mentega biasa dari Perancis.
“Tetapi itulah mentega yang digunakan di rumah-rumah di Indonesia untuk menghasilkan lapis legit premium.
“Kelebihannya adalah ia mengekalkan kelembapan kek tanpa menjadikannya berminyak.
“Bagi saya, lapis legit yang baik mestilah lembap, tidak meninggalkan rasa muak selepas dimakan dan lapisannya sekata,” katanya.
Beliau berkata lapis rempah merupakan paling rumit, kerana mempunyai 18 lapisan dan mengambil masa antara lima hingga enam jam untuk disiapkan, manakala jenis lain mempunyai 15 lapisan.
Minat beliau terhadap lapis legit sendiri bermula sejak kecil, apabila sering membantu neneknya menyediakan kek tersebut setiap tahun.
“Nenek saya tidak pernah berkongsi resipinya.
“Apabila saya teringin makan lapis legit dan tidak dapat mencari yang menepati cita rasa saya di Singapura, saya meminta resipi daripadanya.
“Proses membuatnya sangat sukar kerana saya perlu membeli rempah dalam kuantiti yang banyak.
“Saya kemudian berkongsi kek itu kepada rakan-rakan dan mereka mula meminta saya menjualnya.
“Permintaan melalui mulut ke mulut semakin meningkat, sehingga saya tidak menang tangan setiap kali musim perayaan,” katanya.
Terbaharu, Ollella bekerjasama dengan rangkaian kopi Indonesia, Fore Coffee, dengan memperkenalkan Fore Coffee Lapis Legit, yang menggabungkan resipi warisan keluarga berusia lebih 70 tahun menggunakan ekstrak kopi Arabica Fore Coffee.
Menurut Cik Marcella, kolaborasi itu bukan sahaja memperkenalkan cita rasa baharu, malah membuka peluang kepada generasi muda mengenali kuih tradisional Indonesia.
“Pelanggan Fore Coffee kebanyakannya terdiri daripada golongan muda, manakala pelanggan kami pula majoritinya wanita berusia 30 tahun ke atas.
“Jadi saya rasa kerjasama ini memberi sinergi yang baik dan membantu dalam memperkenalkan kuih tradisional kepada pelanggan yang lebih muda,” katanya.
“Saya mencadangkan agar kami menghasilkan Coffee Lapis.
“Selepas itu kami terus memulakan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang mengambil masa kurang daripada sebulan,” katanya.
Ollella menggunakan ekstrak kopi yang dipekatkan daripada biji kopi Fore Coffee sebelum menyemburkannya pada setiap lapisan kek bagi memastikan aroma kopi benar-benar meresap tanpa menghilangkan identiti asal Lapis Legit.
Sempena kolaborasi itu, pelanggan boleh menikmati satu minuman Fore Coffee bersaiz biasa bersama satu hirisan kek Butter Wijsman Lapis Legit, Nutella Lapis Legit atau Fore Coffee Lapis Legit, pada harga promosi $9.90.
Ollella
Alamat: 1 Tampines Walk, B1-K16 Our Tampines Hub, Singapura 528523Isnin hingga Ahad, 8.30 pagi hingga 7.30 malam