Apabila pelakon dan pengacara Singapura, Shenty Feliziana, 36 tahun, mendapat tahu ibunya menghidap penyakit barah, beliau menyimpan azam untuk membuat insan tercinta itu gembira dan tidak tertekan.
Lantas, semasa beliau mendapat tahu ada gerai untuk disewa di kedai kopi yang terletak di 26 Teck Whye Lane, terdetik di hatinya untuk menunaikan impian ibunya iaitu mempunyai perniagaan makanan.
Ibu Shenty, Cik Rosmah Lamai, 56 tahun, disahkan menghidap barah buah dada tahap tiga pada 2019 namun kini sudah bebas daripada barah selama setahun.
“Selepas saya dan ibu pulang dari hospital untuk pemeriksaan, kami duduk di kedai kopi ini untuk berehat seketika.
“Kami melihat ada gerai untuk disewa. Pada mulanya, saya bimbang jika membuka perniagaan makanan akan menambah tekanan pada ibu.
“Namun, saya tahu beliau berminat dan ada kemahiran dalam bidang masakan. Alhamdulillah saiz gerai ini juga tidak terlalu besar jadi beliau boleh mengendalikannya.
“Saya rasa ini peluang yang sesuai dan saya hanya ingin membuat ibu gembira,” kongsi Shenty ketika ditemui Berita Minggu (BM) di gerai makanan miliknya dan keluarga, Bluebell Kitchen yang mula beroperasi sejak lewat Mei.
Jenama Bluebell Kitchen dimulakan pada 2020 semasa pandemik Covid-19 sebagai perniagaan dari rumah (HBB) di mana beliau membantu ibunya menjual beraneka sambal.
Antara sambal yang dijual ketika itu termasuk Sambal Belado, Sambal Hijau dan Sambal Matah.
Shenty akui beliau pada mulanya risau jika ibunya akan keletihan gara-gara perniagaan itu.
“Pada awal tahun ini (2025), ibu dikejutkan dengan berita bahawa terdapat kemungkinan barah itu muncul kembali.
“Namun Alhamdulillah ia bukan barah. Kini beliau aktif di gerai setiap hari dan gembira dapat bertemu pelanggan baru.
“Saya rasa kalau kegiatan itu sesuatu yang diminati, mengapa tidak diteruskan kerana ia memberinya semangat positif,” ujar Shenty.
Berkongsi mengenai menu hidangan yang dijual, beliau berkata mereka fokus dengan menawarkan makanan Melayu demi memenuhi keperluan sarapan pagi para penduduk di sekitar estet perumahan tersebut.
Namun Shenty memberi saranan kepada ibunya untuk menjual beberapa hidangan istimewa demi mencipta keunikan pada penjenamaan gerainya.
“Selain nasi lemak, lontong, mi soto dan hidangan sarapan lain, saya tertanya-tanya apakah hidangan masakan ibu yang unik.
“Saya teringat suami saya (Reuben Elishama) amat menyukai nasi jeruk dan sotong masak hitam yang dimasak ibu,” kongsinya.
Lauk sotong masak hitam itu turut membawa kenangan buat Shenty yang pernah diwawancara akhbar The New Paper ketika berusia 11 tahun kerana memenangi pertandingan memasak dengan hidangan itu.
“Saya masih ingat hingga kini laporan akhbar yang diterbitkan pada 2001 kerana saya muncul pada halaman depan surat khabar hari itu,” kongsinya.
Nasi jeruk merupakan hidangan asal Indonesia menggunakan daun limau purut sebagai bahan utama.
Di Bluebell Kitchen, terdapat juga versi nasi jeruk bersama ayam panggang dan pelanggan boleh memilih sambal yang ingin dinikmati bersama.
Mengulas mengenai maklum balas daripada para pelanggan, Shenty berkata beliau bersyukur mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Kadangkala kami habis menjual seawal 12 tengah hari dan saya berasa takut jika ada pelanggan yang berasa hampa kerana datang dari jauh dan tidak dapat membeli hidangan kami.
“Namun, saya bersyukur dengan sambutan yang positif. Kami tidak boleh memuaskan hati semua pihak namun kami menjual hidangan ini dengan ikhlas,” ceritanya yang dikenali menerusi drama Rima Hatiku dan Dilema Dania.
Shenty turut berkata beliau tidak mendapat bantuan daripada pihak profesional namun bersyukur dengan ilmu yang dikongsi pengendali makanan dan minuman (F&B) semasa mengacarakan segmen makanan bagi rancangan televisyen, Manja.
Beliau akur masih banyak yang perlu dipelajari tentang selok-belok mengendalikan perniagaan F&B.
“Saya mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan yang baik. Peti ais di gerai saya ini saya dapatkan dari rakan selebriti, Lydia Izzati,” tambah Shenty.
Menerusi perniagaannya itu, Shenty dan ibunya berharap dapat menyebarkan semangat positif dan mengukir senyuman pada pelanggan mereka yang kebanyakan merupakan warga emas. – HAKIM NORMAN HASSAN


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg