Sepanjang 2025, Kaki Makan telah menyajikan landskap makanan dan minuman (F&B) Singapura yang pelbagai – berkembang dengan identiti yang semakin berani, unik dan menarik.
Daripada pusat penjaja tradisional, resepi turun temurun, hingga ke kafe moden, ramai peniaga tempatan membuktikan bahawa makanan bukan sekadar soal rasa yang enak, tetapi juga cerita di sebaliknya serta pengorbanan mereka demi berkongsi cinta mereka terhadap makanan bersama pelanggan.
Sebagai penutup tahun, Kaki Makan berkongsi beberapa pilihan peribadi kegemaran kami yang bukan sahaja memikat selera, malah menyentuh hati melalui kisah di sebalik setiap hidangan.
Pakistani Dum Biryani SG
Di Pusat Makanan Maxwell yang sentiasa sibuk, Pakistani Dum Biryani SG menawarkan pengalaman beriani yang berbeza.
Beriani gaya Pakistan ini dimasak secara ‘dum’, iaitu nasi dan daging dimasak bersama dalam periuk, di atas api perlahan selama tiga jam, membolehkan rempah meresap sepenuhnya ke dalam setiap butir nasi.
Aromanya harum sebaik periuk dibuka, dengan nasi basmati yang panjang, berderai dan lembap, tanpa rasa berminyak berlebihan. Diberi kesempatan untuk mencuba, ayamnya lembut dengan kulit rangup, manakala kambingnya empuk dan mudah tanggal dari tulang.
Gerai itu diusahakan pasangan suami isteri, Encik Muhammad Rizwan Muhammad Moeen Tabassum, dari Pakistan dan Cik Yusnita Yusuff dari Singapura.
“Beriani Pakistan tak perlukan kuah sebab rasanya memang dah cukup menyelerakan,” ujar pengusahanya, Encik Muhammad Rizwan.
“Rempahnya lebih mendalam, bukan pedas semata-mata, tambahnya.
Walaupun akur dengan selera tempatan dengan menyediakan dalca empat jenis kacang dal, beliau tetap mempertahankan resipi asal.
“Saya kira sukatan rempah satu persatu, timbang bahan setiap hari. Saya tak mahu kualiti berubah,” katanya.
Dengan harga sekitar $9, mereka lebih mengutamakan kepuasan pelanggan daripada keuntungan semata-mata.
Alamat: 1 Kadayanallur Street, #01-69, Pusat Makanan Maxwell, Singapura 069184
Waktu Operasi: Isnin hingga Sabtu, 10.45 pagi hingga 8 malam, atau sehingga stok habis
The Udang Clan
Mi Udang Kering di The Udang Clan tampil menggoda sebaik dihidang, mi kuning itu disalut sambal pedas manis, udang segar yang kenyal dan senang dikopek, serta semangkuk sup udang berwarna coklat gelap yang kaya aroma.
Sup itu dimasak perlahan selama sekurang-kurangnya empat jam menggunakan kepala udang, menghasilkan rasa manis asli tanpa bahan tiruan.
“Sup udang harus dimasak dengan teliti dan kami tidak boleh bertolak ansur dengan mutunya, seperti mengurangkan bahan-bahan yang digunakan.
“Kami akan masak sampai rasa dan warna sup itu betul-betul gelap dan berperisa, “ jelas pengasas, The Udang Clan, Encik Tariq Teo Ziqiang.
Usahawan berusia 42 tahun itu pernah berkhidmat dalam sektor awam sebelum mengorak langkah menceburi sektor makanan dan minuman (F&B).
Selepas memeluk Islam pada 2010, Encik Tariq mendapati terdapat permintaan bagi sajian halal yang biasa dinikmatinya dijual di sini.
“Saya mahu buktikan mi udang halal pun boleh ada ‘kick’,” katanya.
Dengan 75 peratus pelanggan bukan Muslim, The Udang Clan membuktikan rasa yang baik mampu menembusi persepsi.
Kedai yang terletak di Hong Leong Building, sekitar Kawasan Pusat Bandar (CBD) Singapura itu mampu menempatkan sehingga 25 pelanggan pada satu-satu masa.
Menu utama yang mencuri perhatian pelanggan ialah Mi Udang Kering yang dijual, bermula dengan harga $8.90.
Alamat: 16 Raffles Quay, #B1-11, Hong Leong Building, Singapura 048581
Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat, 10.30 pagi hingga 4.30 petang
Binge
Berbeza dengan kafe minimalis, Hey Binge di Tiong Bahru tampil berani dengan suasana berwarna kuning dan biru yang ceria. Konsep ini disengajakan.
“Orang makan dengan mata dulu. Bila nampak warna, hati pun jadi ringan,” kata pemiliknya, Encik Arfian Ishak.
Antara hidangan paling menonjol ialah Benny’s Cheesesteak ($18). Daging shabu-shabu nipis dimasak pantas, lembut dan cair di mulut, digandingkan dengan sos keju buatan sendiri yang berkrim tetapi tidak muak.
Grand Poobah ($18), resipi yang diinspirasikan daripada masakan ibu mentuanya dari Filipina.
Daging bahagian dada direbus perlahan selama lapan jam sebelum dihidangkan bersama roti sourdough.
“Saya nak bawa pengalaman rasa luar negara, tapi dalam versi halal dan mesra tempatan,” jelasnya. Minuman matcha strawberi dan pastri pistachio melengkapkan pengalaman santai di kafe ini.
Alamat: 61 Seng Poh Lane (kawasan Tiong Bahru), #01-03, Singapura 160061
Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 9 malam, Sabtu dan Ahad, 9 pagi hingga 9 malam.
Cahaya Timur
Di Changi Village, Cahaya Timur kekal sebagai ikon nasi beriani dam. Nasi basmati disusun di atas daging yang diperap, ditutup rapat dan dimasak perlahan menggunakan bara arang, menghasilkan aroma berasap yang tersendiri.
“Arang buat nasi kering cantik dan tak cepat basi,” ujar pemiliknya, Encik Jamaludin Latiff. Rempah pula disediakan sendiri setiap pagi menggunakan bahan yang dibawa dari India.
Apabila pandemik Covid-19 melanda pada 2020, Encik Jamaludin memberanikan diri membuka kedai pertama di Changi Village, yang hanya mampu menampung 20 tempat duduk.
“Selepas pandemik Covid-19, sambutan semakin baik. Ramai bakal pengantin menempah katering daripada kami kerana mendapat pengesyoran daripada ibu bapa mereka,” kata Encik Jamaludin.
Baru-baru ini, Encik Jamaludin diberi peluang berpindah ke restoran lebih luas. Beliau akur pada mulanya agak bimbang dengan peluasan tersebut.
“Ramai peniaga pernah buka kedai di sini tapi gagal. Alhamdullilah, saya ada ramai pengikut dan pelanggan setia, insya-Allah mereka akan sokong saya,” jelasnya.
Kini, pelanggan boleh menikmati pelbagai pilihan beriani seperti kambing ($10); beriani ayam ($9); beriani ikan ($12); beriani udang ($15) dan beriani dengan betis kambing atau lamb shank ($20).
Terdapat juga set beriani makanan laut kombo khas untuk empat orang, yang memerlukan tempahan awal.
“Bagi saya, nasi dan bau rempah itu paling penting,” katanya dengan ringkas.
Alamat: Blok 05, Changi Village Road, #01-2063, Singapura 500005
Waktu Operasi: Isnin hingga Ahad, 7 pagi hingga 12 tengah malam
Paparch
Basque Burnt Cheesecake, sejenis kek keju istimewa asal Sepanyol yang dijual di Paparch dihasilkan dengan permukaan perang keemasan dan bahagian dalam yang meleleh perlahan.
Ia dibakar pada suhu tinggi sehingga permukaannya hangus secara semula jadi, tetapi bahagian dalam kekal lembut dan cair.
Selain kaya dengan rasa keju, ia juga tidak terlalu manis, dan memiliki keseimbangan tekstur yang ketara.
Setiap suapan terasa kaya keju, berkrim dan tidak terlalu manis.
Pengasas Paparch, Encik Saifullah Aziz, 39 tahun bermula perjalanan Paparch secara sederhana pada 2020, sebagai sebuah perniagaan dari rumah (HBB).
“Selepas mendapat maklum balas positif, kami yakin ia masa yang sesuai untuk memulakan perniagaan,” kata rakan pengasas, Encik Faizul Helmi Hasnol, 30 tahun.
Kini Paparch membuka kedai fizikal terbarunya di Arab Street. Setiap potongan kek keju berbentuk empat segi, termasuk Original, $8.80, serta Chocolate Praline, Pistachio Berry dan Miso Caramel, $9.80, mengekalkan ciri khas Paparch iaitu tekstur leleh dan permukaan perang keemasan yang menarik.
Bermula sebagai perniagaan dari rumah, Paparch kini menjadi jenama tempatan yang diminati pelancong dan pelanggan tempatan.
“Kalau percaya pada produk, konsistensi itu kunci,” nasihat Encik Saifullah buat peniaga HBB.
Alamat:48 Arab Street, #01-03, Singapura 199745
Waktu operasi: Isnin hingga Ahad, 12 tengah hari sehingga habis dijual
The Han’s Dumplings
Menutup senarai ialah Han’s Dumplings dengan kuih cang halal buatan tangan. Pulutnya lembut, inti ayam dan dagingnya padat, berempah dan seimbang rasanya.
Pengasas The Han’s Dumplings, Cik Nur Fazlin Mohd Noor, 38 tahun, bersama suaminya, Encik Iman Shen, 40 tahun, memulakan perniagaan kuih cang halal ini pada 2021 selepas beliau mengidamkan kuih tersebut semasa hamil.
Kuih cang, yang juga dikenali sebagai bak cang atau zongzi, adalah hidangan tradisional Cina yang biasanya dinikmati semasa perayaan Pesta Bot Naga. Namun, bagi masyarakat Islam, mencari versi halal kuih cang ini sering kali menjadi cabaran.
Justeru, The Han’s Dumplings telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan versi halal kuih cang.
Hari ini, hampir selepas empat tahun diusahakan, The Han’s Dumplings menawarkan beberapa variasi kuih cang halal, termasuk versi Hokkien, yang mengetengahkan kuih cang dengan inti yang enak dan masin, serta versi Nyonya yang mempunyai rasa agak manis.
Kuih cang The Han’s Dumplings berharga antara $4.50 dengan $5.50.
Mereka juga memperkenalkan perisa kuih cang ayam pedas yang memenuhi cita rasa dan selera masyarakat Melayu yang sukakan makanan pedas.
“Semua adalah buatan tangan, daripada proses pengisian hingga pembungkusan, memastikan setiap inti kuih cang disumbat dengan padat supaya puas apabila dimakan,” jelas Cik Fazlin lagi.
Pelanggan boleh memesan kuih cang dengan mudah melalui pautan dalam talian yang disediakan di halaman Instagram The Han’s Dumplings (@thehansdumplings). Pelanggan juga boleh mengunjungi reruai The Han’s Dumplings di pusat beli-belah, di mana lokasi terkini akan dikemas kini di laman Instagram mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg