Suasana kejiranan, makanan tradisional jadi tarikan bazar kolong blok di Tampines
Suasana kejiranan, makanan tradisional jadi tarikan bazar kolong blok di Tampines
Menjelang waktu berbuka di bawah Blok 301, Tampines Street 22, suasana bazar Ramadan mula terasa hidup dengan suara penjual yang melaungkan jualan mereka untuk menarik perhatian pelanggan.
Dengan pelbagai deretan gerai kecil pelanggan mula beratur untuk mendapatkan hidangan tradisional seperti nasi ambeng, mi goreng udang, kuih kaswi santan serta minuman klasik seperti air katirah dan cendol.
Berbanding bazar besar seperti di Geylang Serai dan Kampong Gelam, bazar Ramadan di estet perumahan seperti ini membawa suasana lebih sederhana dan penuh nostalgia, kata peniaga dan pengunjung.
Pemilik gerai Pitstop, Encik Mohammed Rafi Mohammed Hussin Marican, berkata bazar kolong blok memberikan pengalaman yang sukar ditemui di tempat lain.
“Suasana bazar di bawah blok ini memang seperti kampung. Kita boleh nampak dan kenali pelanggan yang datang bersama keluarga, ada juga nenek dan ‘atuk’ yang bawa anak dan cucu mereka sekali,” katanya.
Encik Rafi, yang mula berniaga di bazar tersebut sejak 2012, berkata hubungan yang terjalin dengan pelanggan selama bertahun-tahun menjadi antara perkara paling bermakna.
Menurutnya, antara hidangan yang sering menjadi pilihan pelanggan di gerainya termasuk air katirah, yang dijual pada harga $8 untuk tiga botol; mi goreng udang dan laksa nyonya ($7); kacang pul ($7), serta kuih tradisional seperti jongkong ($3) dan kaswi santan ($10).
“Kami juga jual apam dan donat dengan 13 perisa, tetapi yang penting kami kekalkan makanan tradisional. Itulah suasana bazar yang sebenar,” katanya.
Di samping itu, tempoh berniaga yang lebih singkat di bazar kolong blok juga memberi peluang kepada peniaga untuk pulang awal dan menumpukan masa kepada ibadah, ujar beliau.
Bagi pengasas Selera Sumang, pasangan suami isteri, Encik Muhammad Razi Mohd Rafee, dan Cik Nur Hazirah Huzairi, penyertaan mereka di bazar tersebut juga membawa makna tersendiri.
Cik Hazirah berkata bazar di Tampines itu dekat di hatinya kerana beliau membesar di kawasan tersebut.
“Saya memang ada niat untuk berniaga di bazar ini kerana saya membesar di kawasan sini.
“Suasana kejiranannya begitu akrab dan ada ‘vibes’ seperti di kampung. Ia tidak terlalu moden seperti bazar di tempat lain dan banyak gerai di sini menjual makanan tradisional,” katanya.
Selera Sumang, yang mempunyai kedai fizikal di Punggol dan Tampines, menawarkan pelbagai hidangan lauk Melayu seperti nasi sambal goreng ayam ($6.50); nasi sambal goreng daging rendang ($9); serta nasi rawon ($9).
Namun, yang paling mendapat perhatian adalah dulang nasi ambeng mereka, yang hanya dijual semasa Ramadan.
Hidangan itu ditawarkan untuk dua orang pada harga $32, dan empat orang pada harga $60.
Ia disaji dengan nasi putih bersama pelbagai lauk seperti ayam masak lemak cili padi, rendang daging, sambal tumis udang, sambal goreng Jawa, paru belado, terung belado, acar timun, bergedel serta sambal kacang ikan bilis.
Menurut Encik Razi, hidangan tersebut disediakan mengikut cara tradisional bagi mengekalkan rasa asli masakan Melayu.
“Kami masak cara lama menggunakan periuk besar. Banyak bahan juga kami kisar sendiri kerana bagi kami, cara tradisional tetap yang terbaik,” katanya.
Bagi memastikan makanan sentiasa segar, mereka mula membuat persiapan seawal selepas subuh setiap hari.
“Kami mula memasak sekitar 10 jam sebelum jualan bermula. Apa yang dimasak hari itu biasanya habis dijual dan kami tidak menyimpan makanan untuk hari berikutnya,” kata Cik Hazirah.
Menurutnya, sambutan pelanggan setakat ini sangat menggalakkan.
“Hari biasa agak perlahan tetapi konsisten, tetapi hujung minggu memang sangat meriah. Kadang-kadang dalam masa dua jam sahaja makanan kami sudah habis dijual,” katanya.
Setelah seminggu berniaga di bazar tersebut, permintaan terhadap hidangan mereka semakin meningkat.
“Selepas beberapa hari, orang mula bertanya tentang produk kami dan dari situ lebih ramai yang mengenali jenama Selera Sumang,” katanya.
Bagi pasangan itu, antara perkara paling menggembirakan adalah ketika melihat pelanggan datang bersama keluarga.
“Ada ibu bapa datang dengan anak-anak, ada juga pelanggan yang datang berulang kali. Itu yang buat kami rasa usaha ini sangat bermakna,” katanya.
Bazar Tampines
Alamat: 301 Tampines Street 32, Singapura 520301Isnin hingga Ahad, 3 petang hingga habis dijual (sebelum maghrib)

