Topik diikuti
Pergi ke BHkuJ.I.A.K 99 hidupkan warisan penjaja melalui pengalaman interaktif di Singapore Flyer
J.I.A.K 99 hidupkan warisan penjaja melalui pengalaman interaktif di Singapore Flyer
J.I.A.K 99 hidupkan warisan penjaja melalui pengalaman interaktif di Singapore Flyer
Selepas 24 tahun merancang strategi pelancongan Singapura, Cik Lena Lee mengambil keputusan meninggalkan kerjaya korporat yang stabil demi merealisasikan impiannya memperkenalkan budaya makanan tempatan kepada lebih ramai pengunjung.
Beliau melaburkan sekitar $800,000 untuk membuka J.I.A.K 99, sebuah tarikan ‘edutainment’ bertemakan budaya penjaja yang terletak di Singapore Flyer.
Bekas Penolong Pengarah Pelaburan Pulau di Sentosa Development Corporation itu berkata pengalaman bertahun-tahun dalam sektor pelancongan membuka matanya terhadap satu jurang yang masih belum diterokai.
“Selama saya terlibat dalam perancangan masa depan sektor pelancongan, saya dapati tumpuan lebih banyak diberikan kepada tarikan antarabangsa seperti Disney dan jenama-jenama besar. Tidak ramai yang mengetengahkan budaya tempatan serta warisan makanan kita,” katanya kepada Berita Harian.
Menurut beliau, J.I.A.K 99 bukan diwujudkan untuk menggantikan pengalaman menikmati makanan di pusat penjaja, sebaliknya menjadi pengenalan atau ‘prelude’ kepada kepelbagaian budaya makanan Singapura.
“Saya tidak berniat menggantikan pusat penjaja atau menghalang orang ramai daripada berkunjung ke sana. Saya mahu tempat ini menjadi satu permulaan supaya pengunjung memahami sedikit sebanyak tentang makanan daripada pelbagai kaum sebelum mereka pergi ke pusat penjaja sebenar.
“Apabila mereka memahami kisah di sebalik hidangan seperti nasi padang, nasi ambeng, beriani, nasi ayam Hainan atau budaya kopi Nanyang, mereka akan lebih menghargai pengalaman itu ,” ujarnya.
Pengunjung dibawa menyusuri ruang yang dihiasi replika deretan rumah kedai lama sambil mengenali sejarah makanan masyarakat Cina, Melayu, India dan Serani.
Mereka juga boleh mencuba permainan interaktif mengenai pesanan kopi tempatan, ‘edu-kueh-tion’ demi mengenali pelbagai jenis kuih tradisional.
Bagi memastikan pengalaman itu dapat dinikmati semua, Cik Lena turut bekerjasama dengan pembekal halal, Straits Cattle Trading.
“Antara tujuan saya ialah menjadikan tempat ini inklusif. Sebab itu kami bekerjasama dengan Straits Cattle Trading yang menawarkan makanan halal.
“Kami menghidangkan sampel makanan seperti nasi lemak berbalut daun pisang bersama otah, pau kaya, roti perata, karipap, kuih Peranakan dan teh tarik. Ia disajikan seperti set minum petang supaya pengunjung dapat merasai kepelbagaian makanan tempatan tanpa terlalu mengenyangkan,” katanya.
Set itu dihidangkan dalam tingkat.
Pengalaman Classic Hawker Experience berharga $35 bagi dewasa dan $25 bagi kanak-kanak. Program selama antara 45 hingga 60 minit itu merangkumi lawatan berpandu ke empat zon budaya serta sajian makanan yang dihidangkan dalam tingkat tradisional.
Bagi mereka yang mahukan pengalaman lebih menyeluruh, pakej Premium Hawker Experience berharga $50 bagi dewasa dan $40 bagi kanak-kanak. Selain lawatan dan menikmati hidangan tingkat itu, pengunjung turut berpeluang menghasilkan cenderamata sendiri untuk dibawa pulang.
Sejak dibuka pada September tahun lalu, J.I.A.K 99 menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak seawal usia 18 bulan hingga warga emas, termasuk keluarga berbilang generasi, kumpulan korporat dan pelancong.
Bagi Cik Lena, kejayaan sebenar bukan diukur melalui jumlah pengunjung, tetapi apabila lebih ramai menghargai kisah di sebalik makanan tempatan.
“Memori dan nostalgia sangat penting. Saya suka melihat warga emas mengimbau kembali kenangan rumah kedai lama dan penjaja jalanan. Saya mahu warisan ini terus diingati oleh generasi akan datang,” katanya.
J.I.A.K 99
Alamat: 30 Raffles Ave., #01-12 Jiak 99, Singapore Flyer, Singapura 039803Isnin hingga Ahad, 10 pagi hingga 9 malam
