Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengalaman hampir dua dekad jadi ‘ramuan’ piza buatan tangan
Pengalaman hampir dua dekad jadi ‘ramuan’ piza buatan tangan
Lyfs Bodega utamakan asas piza, daripada doh diperam selama 48 jam hingga teknik penyediaan teliti
Pengalaman hampir dua dekad jadi ‘ramuan’ piza buatan tangan
Selepas hampir dua dekad berkecimpung dalam dunia kulinari, Encik Ibnu Aliff Rahim, 37 tahun, memilih untuk membawa pengalaman yang ditimba di restoran Italy, Sepanyol dan Eropah ke dalam perniagaan makanan dari rumah (HBB) sendiri, Lyfs Bodega.
Bersama isterinya, Cik Nur Farhana Mohamad, 37 tahun, pasangan itu kini mengusahakan piza Neapolitan dan calzone halal, dengan misi memperkenalkan piza buatan tangan bermutu tinggi yang selama ini sering dikaitkan dengan pilihan bukan halal.
Piza Neapolitan ialah piza tradisional dari Naples, Italy, yang terkenal dengan doh nipis, gebu di bahagian tepi serta dibakar pada suhu tinggi.
Piza calzone pula merupakan piza yang dilipat menjadi separuh dan diisi dengan pelbagai inti sebelum dibakar.
“Saya rasa masih ada jurang dalam pasaran.
“Selalu bila orang bercakap tentang piza buatan tangan yang betul-betul sedap, pilihan yang disebut kebanyakannya bukan halal.
“Jadi saya fikir, kalau kita ada kemahiran dan pengalaman, kenapa tidak kami tampilkan versi halal yang setanding?” kata Encik Aliff yang beroperasi di rumahnya di Woodlands.
Menurut beliau, pengalaman selama 19 tahun bekerja di dapur profesional menjadi asas kepada setiap piza yang dihasilkan.
“Saya banyak belajar tentang teknik, bahan bermutu dan bagaimana membina rasa yang seimbang. Semua pengalaman itu saya bawa ke Lyfs Bodega,” ujarnya.
Bagi pasangan itu, keistimewaan piza mereka bermula daripada asas yang sering dipandang remeh iaitu doh.
“Kami tidak terus fokus kepada bahan-bahan yang mewah.
“Kami mulakan dengan aspek paling penting iaitu asas piza.
“Doh, sos tomato dan teknik penyediaan perlu betul dahulu,” kata Encik Aliff.
Doh Lyfs Bodega diperam selama 48 jam sebelum dibakar dalam ketuhar bersuhu tinggi.
“Proses penapaian membantu menghasilkan doh yang lebih ringan dan mudah dihadam.
“Ia juga memberi rasa yang lebih mendalam serta menghasilkan tekstur kerak yang cantik dengan gelembung udara semula jadi,” jelas Encik Aliff lagi.
Selain pilihan klasik seperti Margherita dan Pepperoni, antara menu yang paling mendapat perhatian pelanggan ialah Wagyu Supremo.
Piza tersebut menampilkan daging A5 Wagyu, krim, mozarela, keju Grana Padano halal, bawang karamel dan minyak cili buatan sendiri.
“Saya percaya piza yang baik perlu ada keseimbangan.
“Dalam Wagyu Supremo, ada kemanisan daripada bawang karamel, rasa umami daripada lemak wagyu, sedikit rasa masin daripada keju Grana Padano dan sentuhan pedas daripada minyak cili. Semua unsur itu saling melengkapi,” katanya.
Menurut Cik Farhana, idea menghasilkan piza wagyu lahir daripada keinginan untuk menjadikan bahan premium lebih mudah dinikmati pelanggan Muslim.
“Kami lihat piza wagyu semakin popular di negara jiran, tetapi kebanyakannya sukar diakses oleh pelanggan Muslim.
“Jadi kami mahu menghasilkan versi kami sendiri yang halal dan pada harga lebih berpatutan,” katanya.
Ada pelanggan yang sanggup mendapatkan pembeli peribadi atau ‘personal shopper’ untuk mendapatkan piza tersebut.
Malah, sambutan yang diterima melebihi jangkaan mereka.
“Ramai pelanggan beritahu mereka tidak sangka boleh menikmati piza buatan tangan seperti ini dalam pasaran halal.
“Ada yang pesan beberapa kotak sekali gus dan ada juga pelanggan yang datang semula selepas mencuba,” katanya.
Selain Wagyu Supremo, calzone seperti P-Roni Pocket yang diisi dengan pepperoni, mozarela dan sos pomodoro turut menjadi antara pilihan popular.
Menu Lyfs Bodega menawarkan pilihan piza dan calzone buatan tangan pada harga antara $18 dengan $31.
Walaupun masih beroperasi dari rumah, pasangan itu bersyukur dengan sokongan yang diterima sejak hari pertama.
“Alhamdulillah, sambutan datang melalui keluarga, kawan-kawan dan kemudian dari mulut ke mulut. Itu yang membantu kami berkembang sedikit demi sedikit,” kata Cik Farhana.
Bagi Encik Aliff, kejayaan terbesar bukan sekadar jumlah jualan, tetapi peluang untuk menawarkan sesuatu yang sebelum ini sukar ditemui dalam pasaran.
“Saya cuma mahu membuktikan piza buatan tangan halal juga boleh setanding dari segi mutu, keunikan dan kepuasan rasa dengan mana-mana piza premium yang lain.
“Kalau diminta untuk tinggalkan restoran tempat saya kerja sebelum ini, saya akan melakukannya lagi,” katanya.
Lyfs Bodega
Alamat: 517 Woodlands Drive 14, Singapura 730517Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad: 12 petang hingga 10 malam; Jumaat: 4 petang hingga 10 malam
