Selepas membuka 9Yards Cafe di Changi Village, Cef Bob, atau nama penuhnya, Encik Shahrizal Salleh, menyangka beliau tidak akan lagi menceburi pembukaan sebuah lagi perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Namun, peluang untuk mengendalikan sebuah kedai kopi mengubah perancangannya.

“Selepas membuka 9Yards Cafe, saya fikir saya tidak akan buka lagi perniagaan dalam industri makanan dan minuman (F&B).

“Namun, apabila peluang tersebut datang, saya membuat perkiraan dan berasa bahawa membuka lagi satu perniagaan sesuatu yang masuk akal untuk diteruskan,” kongsinya kepada Berita Harian.

Bersama pencipta kandungan TikTok, Encik Kai Emilio, beliau membuka Rahsia Bidadari pada 1 April lalu, sebuah kedai kopi halal yang menyatukan beberapa jenama tempatan di bawah satu bumbung.

Menurut Cef Bob, idea itu tercetus selepas mereka dimaklumkan mengenai sebuah ruang kedai kopi yang tersedia untuk disewa.

Rahsia Bidadari menempatkan beberapa jenama tempatan popular seperti SatayBossQue, Ashes Burntit, Charrborgrill serta 9Yards, yang menawarkan pelbagai hidangan termasuk nasi lemak, lontong, mi rebus, mi soto, soto ayam, sate dan hidangan tze char iaitu mi yang digoreng menggunakan wok (kuali).

Bagi Cef Bob, pembukaan kedai kopi itu bukan sekadar memperluaskan perniagaan, malah memberi peluang kepada masyarakat menikmati pelbagai pilihan makanan halal di bawah satu bumbung.

“Di kebanyakan kedai kopi, mungkin hanya satu atau dua gerai sahaja yang halal.

“Kami mahu sediakan sebuah tempat yang menawarkan pelbagai pilihan makanan halal supaya orang ramai boleh datang makan bersama dengan lebih tenang,” katanya.

Selain menjadi platform kepada jenama tempatan, Rahsia Bidadari, turut membuka peluang pekerjaan kepada bekas banduan menerusi usaha yang digerakkan bersama Encik Kai Emilio.

Menurut Cef Bob, sebelum ini ramai daripada mereka hanya bekerja secara bermusim seperti di bazar, sekali gus menyukarkan mereka memperoleh pendapatan secara tekal.

“Ramai antara mereka sukar mendapatkan pekerjaan tetap.

“Melalui kedai kopi ini, kami harap mereka mempunyai peluang untuk memperoleh pendapatan yang lebih stabil dan mereka memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Mengendalikan kedai kopi, tambah beliau, jauh lebih mencabar berbanding restoran kerana melibatkan pengurusan pekerja, penyewa dan operasi harian yang lebih rumit.

Beliau berkata, peningkatan kos operasi serta mendapatkan tenaga kerja yang sesuai merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapi.

Walaupun begitu, Cef Bob berharap lebih ramai usahawan Melayu akan berani menceburi bidang pengendalian kedai kopi.

“Persaingan yang sihat adalah sesuatu yang baik. Kita boleh belajar dengan satu sama lain dan sama-sama mengangkat industri F&B Melayu ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Rahsia Bidadari
Alamat: 115C Alkaff Crescent, Singapura 343115
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 7.30 pagi hingga 10 malam

Get therelocation-icon