Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Kesihatan
35
0

Usah lengah jika diserang strok

Nov 06, 2023 | 06:00 AM



Angin ahmar atau strok bukan satu serangan penyakit yang berlaku secara tiba-tiba.

Sebaliknya, proses menuju pada serangan angin ahmar bermula jauh lebih awal – sering kali antara 10 dengan 15 tahun sebelum serangan berlaku.

Sebagai contoh, jika seseorang mengalami angin ahmar pada usia 55 tahun, proses yang membawa kepada serangan strok itu bermula pada usia sekitar 40 hingga 45 tahun.

Ini adalah tempoh apabila pesakit mungkin tidak mengawal penyakit metabolik kronik dengan baik, sekali gus meningkatkan faktor risiko.

Penyakit metabolik kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan tahap kolesterol yang tinggi adalah antara faktor utama berkaitan risiko serangan angin ahmar.

Ini bukanlah isu yang boleh diambil ringan. Mereka yang menghidap penyakit itu harus memastikan mereka menguruskannya dengan baik melalui pemantauan berkala, pemakanan seimbang dan amalan gaya hidup sihat.

Angin ahmar adalah serangan otak dan terjadi apabila bekalan darah ke otak terganggu.

Otak adalah pusat saraf tubuh, mengawal setiap yang dilakukan atau fikirkan, di samping mengawal fungsi-fungsi automatik seperti pernafasan.

Untuk berfungsi, otak memerlukan bekalan darah secara berterusan. Darah itu membawa oksigen dan nutrien yang amat penting.

Apabila saluran darah di dalam otak anda pecah atau tersumbat, bekalan darah akan terhenti dan sel-sel otak akan kekurangan oksigen dan nutrien.

Bahagian otak itu mula mati dan individu tersebut dikatakan mengalami serangan angin ahmar.

Dengan pantas, dengan senyap, kerosakan otak menjejas deria, pertuturan dan pemahaman bahasa. Sebelah tubuh mungkin lumpuh, sikap, corak pemikiran dan ingatan turut berubah.

Rawatan fisioterapi

Namun, tindakan pantas mendapatkan rawatan setelah diserang angin ahmar mungkin memberi peluang kepada pesakit untuk pulih.

Serangan angin ahmar yang tidak dijangka dan lewat mendapatkan rawatan boleh menyebabkan pesakit lumpuh anggota badan secara kekal.

Rawatan fisioterapi boleh mempercepatkan kadar pemulihan sistem ‘neuromuscular’, atau otot saraf, yang terlibat dari segi pergerakan, keseimbangan badan, koordinasi pergerakan, mobiliti dan keupayaan berjalan.

Ia boleh mengembalikan fungsi harian dengan cepat dan kebolehan bergerak secara optimum di samping kebolehan berdiri sendiri.

Punca

Antara punca utama seseorang itu diserang angin ahmar ialah disebabkan faktor tekanan darah tinggi.

Tekanan darah tinggi secara berterusan akan merosakkan saluran darah di seluruh badan. Tetapi kesan ini lebih pada saluran darah yang halus seperti di otak dan meningkatkan risiko terjadi sumbatan pada saluran darah.

Kolesterol yang tinggi di dalam badan juga menjadi penyumbang terbesar meningkatnya risiko serangan angin ahmar. Kolesterol itu akan terkumpul di dinding saluran darah yang lama-kelamaan menyebabkan saluran menjadi sempit dan seterusnya tersumbat.

Selain itu, tabiat merokok juga adalah antara salah satu amalan gaya hidup tidak sihat yang menjadi punca utama serangan angin ahmar kerana ia boleh menyebabkan saluran darah tersekat sekali gus merosakkan fungsinya.

Gejala

Angin ahmar tidak terjadi tanpa amaran. Selalunya, ada tanda-tanda amaran.

Dengan mengenali tanda-tanda itu dan mengambil tindakan segera dengan mendapatkan bantuan perubatan, anda boleh mengelakkan strok yang mendatang atau mengurangkan kesannya.

Gejala-gejala utamanya adalah kelemahan atau merasa kebas mengejut di sebelah bahagian badan.

Tanda-tanda itu mungkin muka yang meluyut, meleleh air liur, merasa lemah pada tangan atau kaki.

[ο] Kekaburan penglihatan pada sebelah atau kedua-dua mata secara tiba-tiba. Kesukaran bertutur atau memahami pertuturan, atau pertuturan yang tidak jelas.

[ο] Pening, kehilangan imbangan dan kekeliruan. Sakit kepala yang teruk dan mengejut. Rasa mual atau muntah.

Gejala berkenaan akan terjadi secara mendadak dan bertambah teruk.

Kerumitan

Kesan angin ahmar bergantung pada bahagian otak mana yang terjejas dan kerosakannya teruk.

Bagi sesetengah individu, kesannya agak sedikit dan mengambil masa yang cepat untuk pulih. Manakala yang lain mengalami kehilangan keupayaan yang lebih teruk dalam jangka panjang.

Antara komplikasi penyakit strok ialah seperti kehilangan pergerakan atau corak pergerakan yang tidak normal yang dipanggil hemiplegia atau kelumpuhan sebelah bahagian badan. Oleh kerana bahagian kanan otak mengawal bahagian kiri badan (dan sebaliknya), hemiplegia terjadi di bahagian badan yang bertentangan dengan lokasi angin ahmar.

Koordinasi lemah: Pesakit angin ahmar mungkin mengalami masalah koordinasi otot, yang boleh menyukarkan pergerakan mereka dalam kehidupan harian.


Perawakan yang tidak normal: Kelemahan otot dan masalah koordinasi boleh mengakibatkan perubahan dalam perawakan pesakit, yang mungkin menyebabkan ketidakselesaan dan masalah lain.


Sukar bertutur dan memahami, serta membaca dan menulis: Angin ahmar boleh memberi kesan kepada bahasa dan kemampuan komunikasi pesakit. Ia boleh mencetuskan kesukaran dalam berinteraksi dengan orang lain dan memahami maklumat.


Tidak dapat kawal pembuangan najis: Ini adalah satu komplikasi serius yang boleh mempengaruhi mutu hidup pesakit angin ahmar, dan mereka mungkin memerlukan bantuan tambahan dalam mengendalikannya.


Jejas daya penglihatan: Beberapa pesakit angin ahmar mengalami masalah penglihatan, termasuk penglihatan separuh, yang boleh menyukarkan mereka dalam melakukan kegiatan harian.


Tidak dapat menelan: Angin ahmar juga boleh memberi kesan kepada kemampuan pesakit untuk menelan pesakit. Ia boleh menyebabkan masalah pemakanan dan risiko pernafasan.


Kekurangan kognitif: Menjadi terlalu awas, cemas dan kelam kabut. Mudah murung, tidak dapat mengawal emosi. Konsentrasi yang lemah dalam mempelajari kemahiran baru.


Kurang mengagak ruang: Tidak boleh mengagak jarak, saiz, kedudukan. Kehilangan rasa di sebelah badan.


Pencegahan

[ο] Lebihkan pengambilan makanan berkhasiat seperti buah dan sayuran.

[ο] Periksa ekanan darah secara berterusan.

[ο] kekalkan berat badan ideal kerana obesiti adalah salah satu penyebab kepada penyakit angin ahmar.

[ο] Aktif dalam kegiatan fizikal iaitu sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Contohnya berjalan pantas, senaman regangan dan bergerak aktif.

Cepat bertindak

Angin ahmar adalah satu kecemasan dan setiap minit amat berharga buat pesakit.

Tindakan pantas diperlukan untuk segera membawa pesakit ke hospital berdekatan.

Apabila tiba di hospital, doktor akan menggunakan teknik imbasan imej otak, sama ada tomografi berkomputer – atau computerised tomography scan (CT scan) – atau pengimejan resonans magnet (MRI) bagi menentukan jenis strok yang pesakit alami.


Sumber: SingHealth, HealthHub, Persatuan Angin Ahmar Nasional Singapura (SNSA).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >