Langkah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dan 10 Exco Kerajaan Negeri itu yang dibatalkan pelantikannya, menarik balik surat pemakluman yang mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, mungkin meredakan pertikaian takhta diraja di negeri itu yang berlarutan sejak April lalu.

Pada 14 November lalu, Datuk Ismail mengesahkan sudah menghantar surat  bertarikh 10 November kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, untuk menarik balik kandungan surat bertarikh 17 September itu, yang ketika itu turut memaklumkan mengenai proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pengesahan itu dibuat selepas surat berkenaan tular di media sosial.

“Surat itu pun sudah tular, jadi saya sahkan surat itu.

“’The letter is self-explanatory’ (surat itu sudah menjelaskan dengan sendirinya),” katanya kepada media Negeri Sembilan pada 14 November, sambil menyatakan keyakinan bahawa langkah itu akan membawa kepada penyelesaian krisis berkenaan yang sudah berlarutan kira-kira tujuh bulan.

Dalam surat itu, Datuk Ismail memaklumkan keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Keputusan berkenaan juga katanya demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur.

Dalam perkembangan terkini berkait surat 10 November itu, prosiding saman pemula difailkan 10 bekas Exco Negeri Sembilan yang sepatutnya didengari secara sidang video di Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan, pada 16 November, ditangguhkan kepada 18 November ini.

Penangguhan sidang untuk 10 Exco itu mencabar sah atau tidak keputusan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan mereka pada 20 September lalu, dibuat bagi memberi laluan kepada rundingan penyelesaian secara baik, menyusuli perkembangan terkini dalam kes pertikaian takhta diraja itu.

Penarikan balik sokongan yang mengiktiraf Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu dibuat ketika Kerajaan Negeri berdepan keperluan mendesak untuk meluluskan Belanjawan 2027 dan mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

DUN Negeri Sembilan masih belum bersidang sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 diadakan pada 1 Ogos lalu, berikutan kemelut institusi diraja yang berterusan.

Umno memenangi PRN Negeri Sembilan dengan menguasai 18 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN, sementara rakan pakatannya, Perikatan Nasional (PN) memenangi tujuh kerusi, membolehkan gabungan itu membentuk Kerajaan Negeri selepas memenangi majoriti 23 kerusi.

Kegagalan Datuk Ismail dari Umno untuk memanggil persidangan DUN akibat krisis itu turut mendapat kritikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH). 

Untuk mengadakan persidangan DUN dan pembentangan Belanjawan 2027, Menteri Besar perlu mendapatkan perkenan (persetujuan) Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, dan empat Undang sebagai pemerintah bersama, yang turut berkuasa untuk melantik dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar.

Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Fuad Abdul Karim.
Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Fuad Abdul Karim. - Foto ihsan MUHAMMAD FUAD ABDUL KARIM

Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhammad Fuad Abdul Karim, melihat langkah diambil Datuk Ismail dan 10 bekas Exco Kerajaan Negeri itu sebagai kompromi strategik yang mencerminkan kebijaksanaan dalam mengurus perbezaan pandangan serta kepentingan institusi.

“Dalam keadaan yang memerlukan penelitian dari sudut perlembagaan dan kelangsungan pentadbiran, pendekatan mencari titik persamaan sememangnya lebih baik daripada membiarkan perbezaan terus berlarutan.

“Dari perspektif penyelesaian masalah, sesuatu kemelut tidak semestinya perlu membawa kepada keadaan yang mendesak atau meletakkan mana-mana pihak dalam situasi menang-kalah. 

“Justeru, pendekatan jalan tengah ini wajar dilihat sebagai ruang untuk semua pihak kembali kepada semangat saling menghormati, kebijaksanaan dan tanggungjawab bersama,” katanya kepada Berita Harian.