SEREMBAN: Kesemua 10 mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang pelantikannya ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, diarah memulangkan kenderaan rasmi mereka.

Dalam masa yang sama, kesemua Exco terbabit juga memberi keterangan kepada polis berhubung krisis takhta yang berlarutan di negeri itu.

Bekas Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin, mengesahkan perkara tersebut dan berkata beliau menerima surat daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk memulangkan kenderaan rasmi.

“Sejak pewartaan (pembatalan lantikan Exco) itu, saya tak guna kenderaan rasmi, tetapi hari ini memang ada terima surat daripada SUK berhubung arahan memulangkan semula kenderaan rasmi.

“Namun, saya tidak sempat pun membaca surat itu tadi,” katanya yang ditemui selepas memberi keterangan kepada polis dari Bukit Aman di bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Seremban, Negeri Sembilan, pada 28 September.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng berkata pihaknya akan melaksanakan arahan berkenaan.

“Jadi, kami perlu mengeluarkan semua barang kami. Tidak mengapa, kami akan mematuhi apa jua arahan yang diberikan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Menurut Datuk Mohd Asna, semua mantan Exco tidak dapat memasuki pejabat di Wisma Negeri, Seremban, seperti biasa, dan semua urusan sebagai Adun dilakukan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng.

“Sebagai wakil rakyat, buat masa ini operasi kita di pusat khidmat kawasan,” katanya.

Terdahulu, Tuanku Muhriz menarik balik pelantikan10 Exco terbabit pada 20 September lalu, selepas pihak istana menyatakan bahawa ahli-ahli Exco berkenaan melanggar sumpah taat setia yang dilafaz dan ditandatangani.

Penarikan balik itu menyusuli satu kenyataan kontroversi Exco mengenai kedudukan pemerintah, yang kemudiannya diisytiharkan tidak sah oleh Pejabat Peguam.

Mengenai laporan polis itu, Datuk Mohd Asna berkata 10 mantan Exco Kerajaan Negeri Sembilan memberi keterangan kepada polis dari 11 pagi hingga 2 petang.

Proses rakaman percakapan itu berlangsung hampir tiga jam, dengan pasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Bagaimanapun sesi rakaman percakapan tidak membabitkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Beliau berkata lebih 60 soalan dikemukakan pihak polis dalam siasatan mengenai krisis itu.

Datuk Mohd Asna berkata pihaknya dimaklumkan bahawa rakaman keterangan itu bukan sahaja melibatkan barisan mantan Exco, malah beberapa pegawai lain juga mungkin akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti