Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar: Cubaan penurunan takhta biadab dan tidak bertamadun
Ulasan penurunan takhta dikhuatiri memberi gambaran pertentangan, tanggungjawab tetap dijalankan
Anwar: Cubaan penurunan takhta biadab dan tidak bertamadun
HANGZHOU (China): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan cubaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco negeri menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sebagai biadab dan tidak bertamadun.
Perdana Menteri menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian.
“Menteri Besar dan Exco yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun, dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian kepada media ketika berada dalam kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou, China, pada 23 September.
Datuk Anwar mengulas krisis pentadbiran dan adat di Negeri Sembilan yang menyaksikan kemelut berkenaan semakin sukar dirungkai.
Sebelum ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco Kerajaan Negeri itu mengeluarkan kenyataan sebulat suara bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.
Datuk Anwar menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak campur tangan dalam isu penurunan takhta Raja yang disifatkannya bukan perkara mudah.
Katanya, walaupun kuasa menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar tertakluk kepada keputusan Undang Yang Empat, keputusan berkenaan tidak bersifat mutlak dan perlu mengikut peraturan.
Sementara itu, Datuk Ismail dalam satu sidang media pada 24 September menjawab teguran dan maklum balas Datuk Anwar mengenai krisis itu dengan menegaskan bahawa beliau dibimbangi memberi gambaran salah terhadap peranan Menteri Besar dan Exco Negeri Sembilan.
Datuk Ismail menegaskan dakwaan kononnya Kerajaan atau Menteri Besar telah menurunkan Yang di-Pertuan Besar adalah tidak tepat, sebaliknya ia adalah peranan khusus kepada Undang Yang Empat dalam penurunan dan pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Kerajaan Negeri kesal apabila pertikaian ini cuba digambarkan sebagai pertentangan antara Kerajaan Negeri dengan Yang di-Pertuan Besar. Naratif seperti ini tidak membantu usaha mendamaikan keadaan.
“Persoalan yang perlu diselesaikan ialah pertikaian mengenai proses, bidang kuasa dan tafsiran terhadap tindakan institusi adat yang berkaitan. Perkara inilah yang sewajarnya diselesaikan melalui saluran yang diperuntukkan oleh adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Kerajaan Negeri tidak berhasrat menentukan keputusan bagi pihak institusi tersebut,” katanya.
Pada masa sama, Datuk Ismail juga kesal dengan tindakan menyekat Exco Kerajaan Negeri daripada menjalankan tugas dan mengingatkan Kerajaan Negeri yang tertubuh hari ini ialah kerajaan yang mendapat mandat rakyat.
“Tanggungjawab kami ialah memastikan pentadbiran kerajaan terus berjalan, rakyat terus diberikan perkhidmatan dan kemuliaan institusi Adat serta Raja Negeri Sembilan terus dipelihara,” katanya.