Topik diikuti
Pergi ke BHkuKrisis Adat & Raja N. Sembilan: Pentadbiran Kerajaan Negeri semakin celaru
Exco negeri gantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Penasihat Undang-Undang Negeri selepas didakwa enggan wartakan pengisytiharan rasmi penurunan takhta Tuanku Muhriz, namun dibantah Jabatan Peguam Negara
Krisis Adat & Raja N. Sembilan: Pentadbiran Kerajaan Negeri semakin celaru
Kemelut pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan terus rumit apabila mesyuarat khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
Keputusan penggantungan itu dibuat selepas kededua pegawai kanan Kerajaan Negeri itu didakwa enggan mewartakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertarikh 19 April 2026.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian menegaskan mesyuarat Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang jawatan itu.
Ini kerana menurut AGC, perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas kedua-dua jawatan itu terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
“Ia sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Bagi pelantikan Penasihat Undang Undang Negeri yang baharu pula, perlu dinyatakan bahawa pelantikannya hendaklah mematuhi Perkara 37 UUTKNS, iaitu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan,” menurut kenyataan jabatan itu pada malam 22 September.
Justeru, SUK Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, kekal menjalankan tugas seperti biasa.
Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata kedua-dua pegawai kanan kerajaan negeri terbabit tidak boleh dihalang daripada memasuki pejabat mereka untuk bekerja kerana ia menyalahi undang-undang.
Sehingga setakat 23 September, Datuk Muzalmah dilaporkan tidak menerima sebarang surat rasmi memaklumkan penggantungan tugas sebagaimana diumumkan Datuk Ismail.
“Saya masuk pejabat dan bekerja seperti biasa hari ini (23 September),” katanya sebagaimana dilaporkan BHM.
Terdahulu, Datuk Ismail, dalam kenyataan di Facebook, berkata mesyuarat khas Exco Negeri Sembilan pada 22 September menggantung tugas SUK negeri, Datuk Mohd Zafir, dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Datuk Ismail keputusan itu dibuat secara sebulat suara pada mesyuarat khas Exco, pada 22 September.
Datuk Ismail turut menamakan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Razali, untuk menjalankan tugas SUK Negeri Sembilan sehingga SUK baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
“Tugas memberikan nasihat perundangan pula akan dilaksanakan oleh (Encik) Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang baru dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara.
“Saya juga mengesahkan bahawa semua jawatan ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan adalah masih kekal dan sah,” kata Datuk Ismail dalam kenyataan itu.
Sebelum ini pada 16 September lalu, barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan dalam satu kenyataan sebulat suara membuat keputusan bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, adalah sah.
Justeru, Datuk Ismail mengarahkan SUK negeri untuk mewartakan proklamasi berkenaan, namun Datuk Mohd Zafir menegaskan tidak akan meneruskan tindakan itu yang dikatakan tidak berperlembagaan.
Malah, AGC juga menegaskan Menteri Besar dan barisan Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang disandang Tuanku Muhriz.
Sementara itu, pertemuan antara Datuk Ismail dan barisan Exco dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, yang sepatutnya dijadualkan pada pagi 23 September di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Seremban, dibatalkan atas faktor keselamatan.
Pihak berkuasa turut dilaporkan membuat kawalan dan sekatan di Balai Undang Sungai Ujong dekat Ampangan, Seremban, yang didakwa menghalang pergerakan keluar Tunku Nadzaruddin dan empat Undang terbabit.
Tunku Nadzaruddin diiktiraf oleh Datuk Ismail dan barisan Exco terbabit sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, selepas mereka mengesahkan proklamasi (pengisytiharan rasmi) menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta diraja itu, adalah sah.
Dalam pada itu, Undang Yang Empat (pembesar adat dan ketua wilayah) dan Tunku Besar Tampin mengecam sebarang usaha pihak tertentu yang didakwa cuba mencabuli prerogatif dan hak Perlembagaan mereka.
Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dalam kenyataan bersama menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan.
“Sebarang tindakan campur tangan sedemikian jika diteruskan didakwa boleh melanggar prinsip keluhuran Perlembagaan selain menyentuh Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan berhubung jaminan terhadap hak Raja sesuatu negeri,” katanya dalam satu kenyataan.