KUALA LUMPUR: Sebuah kereta mewah Porsche milik seorang selebriti wanita adalah antara 101 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Luxury di seluruh Malaysia sepanjang Jun.
Porsche itu disita di sebuah lokasi sekitar Lembah Klang selepas didapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta perlindungan insurans sudah tamat tempoh – antara kesalahan paling banyak direkodkan dalam operasi berkenaan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pelaksanaan Ops Luxury bertujuan memperkukuh penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan mewah yang mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya.
“Dalam operasi itu, sebanyak 101 kenderaan mewah dikesan melakukan kesalahan. Ia termasuk jenis Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayman, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Mercedes-Benz.
“Antara kesalahan dikenal pasti ialah LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah dan lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah.
“Selain itu, nombor pendaftaran tidak sepadan dengan sistem, nombor pendaftaran palsu serta trade plate (nombor plat khas) tiruan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat JPJ Kuala Lumpur pada 24 Jun.
Mengulas lanjut, Datuk Aedy Fadly berkata Ops Luxury turut mendedahkan kemungkinan terdapat kenderaan klon berdasarkan ketidakpadanan nombor casis serta penggunaan nombor pendaftaran palsu.
“Pasukan JPJ sedang menjalankan siasatan terperinci ke atas beberapa kenderaan disyaki ada kaitan dengan sindiket kenderaan klon.
“Malah, kami tidak menolak kemungkinan kenderaan yang menggunakan trade plate palsu juga terbabit,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Mengenai pemilik kenderaan mewah berkenaan pula, beliau mengesahkan sebahagiannya adalah individu kenamaan dan selebriti, namun identiti mereka tidak didedahkan atas dasar siasatan.
“Lagi dikenali, lagi besar tanggungjawab mereka untuk menunjukkan contoh kepada masyarakat.
“Alasan seperti terlupa memperbaharui LKM, tidak boleh diterima.
“Kalau selepas disita, boleh pula segera bayar dan perbaharui, kenapa tidak dibuat lebih awal?” katanya sambil menjelaskan kebanyakan pemilik memberi alasan sedemikian tetapi hanya bertindak selepas kenderaan disita.
“Operasi ini dijalankan hasil risikan dan maklumat orang ramai. JPJ akan terus melaksanakan Ops Luxury secara berkala demi memastikan integriti sistem pengangkutan negara kekal terpelihara,” katanya.
Menurutnya, kenderaan terbabit disita di seluruh negara dengan Kuala Lumpur dan Selangor mencatat jumlah tertinggi membabitkan masing-masing 17 kenderaan.
Ia diikuti Pulau Pinang (14), Perak (11), Johor (10), Kedah (sembilan), Pahang (lima), Melaka (lima), Negeri Sembilan (empat), Kelantan (tiga), Terengganu (dua), Sabah (dua), Perlis (satu) dan Sarawak (satu).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg