Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

JPJ Johor keluarkan lebih 5,700 saman sepanjang Ops Khas Aidiladha 2025

Jun 11, 2025 | 10:42 AM
JPJ Johor telah melaksanakan Ops Khas Sempena Hari Raya Aidiladha 2025 dari 4 hingga 10 Jun.
JPJ Johor telah melaksanakan Ops Khas Sempena Hari Raya Aidiladha 2025 dari 4 hingga 10 Jun. - Foto JPJ JOHOR

Sebanyak 5,744 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor dalam tempoh seminggu menerusi Ops Khas Sempena Hari Raya Aidiladha 2025 yang dijalankan dari 4 hingga 10 Jun lalu.

Pengarah JPJ Johor, Encik Azmil Zainal Adnan, berkata sebanyak 45,395 kenderaan telah diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 83 daripadanya disita kerana didapati tidak selamat untuk berada di jalan raya.

“Antara kesalahan utama termasuk memandu tanpa lesen memandu kompeten (CDL) iaitu sebanyak 1,264 kes, memiliki lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (1,163 kes), serta tiada perlindungan insurans (1,021 kes),” katanya dalam satu kenyataan pada 10 Jun.

Operasi itu juga mendedahkan kadar pematuhan undang-undang keselamatan jalan raya dalam kalangan pemandu kenderaan persendirian masih rendah.

Dalam senarai kesalahan lain yang dikenakan tindakan, sebanyak 134 notis dikeluarkan terhadap pemandu yang tidak memiliki lesen vokasional, manakala 169 pemandu dikenal pasti melakukan pelanggaran kesalahan utama seperti tidak memakai topi keledar, tidak menggunakan tali pinggang keledar, melanggar lampu isyarat merah, serta memandu di lorong kecemasan.

“Perlaksanaan operasi ini adalah bagi penguatkuasaan kepada penunggang motosikal termasuk pemeriksaan lesen memandu, lesen kenderaan motor, ubahsuai kenderaan dan lain-lain kesalahan bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut undang-undang selaras dengan APJ 1987 serta Kaedah-Kaedah di bawahnya,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, syarikat atau pemilik kenderaan yang terus mengabaikan peraturan ditetapkan.

“Langkah penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan secara berjadual bagi mewujudkan budaya jalan raya yang lebih selamat, bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga kepada keluarga mereka,” katanya.

Orang awam yang ingin menyalurkan maklumat mengenai pelanggaran lalu lintas boleh berbuat demikian melalui aplikasi MyJPJ atau e-Aduan@JPJ.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg