Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

101 murid di Perak keracunan makan makanan di kantin sekolah

Sep 26, 2024 | 11:43 AM
Seorang murid dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan akibat keracunan makanan dan kini berada dalam keadaan stabil.
Seorang murid dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan akibat keracunan makanan dan kini berada dalam keadaan stabil. - Foto BERNAMA

IPOH: Seramai 101 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor di sini mengalami keracunan dipercayai selepas memakan ayam goreng dan meminum minuman coklat di kantin sekolah pada 24 September.

Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui sistem e-pemberitahuan pada 8 pagi apabila lima murid sekolah tersebut menunjukkan gejala keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah, sakit perut dan demam.

“Semua murid telah menerima rawatan di dua kemudahan kesihatan sekitar Ipoh. Ini mendorong Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pejabat Kesihatan Daerah Kinta menjalankan siasatan di sekolah tersebut semalam (25 September) 10.30 pagi.

“Hasil siasatan pengesanan kes aktif, sejumlah 96 kes tambahan telah dikenal pasti menjelang 5 petang, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 101, membabitkan 50 murid perempuan dan 51 murid lelaki,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 September, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata sejumlah 101 kes menunjukkan gejala muntah, 84 mengalami cirit-birit, 68 mengalami sakit perut dan 24 mempunyai gejala demam.

“Tanda-tanda awal bermula pada hari Selasa (24 September) tengah hari, manakala tanda-tanda terbaru berlaku semalam (25 September) pada 8 pagi. Seorang murid dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Seramai 62 murid lain menerima rawatan pesakit luar di klinik kesihatan berdekatan dan klinik swasta berhampiran rumah mereka. Murid lain hanya mengalami gejala ringan dan telah berehat di rumah. Semua kes dilaporkan dalam keadaan stabil,” kata Dr Feisul.

Siasatan awal mendapati makanan yang disyaki menjadi punca keracunan itu ialah minuman berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin sekolah.

“Pelajar melaporkan bahawa minuman berperisa coklat yang dijual di kantin pada hari Selasa mempunyai bau ‘masam’ ketika diminum.

“Mereka juga mengadu bahawa ayam goreng tidak dimasak sepenuhnya, dengan sebahagian daging ayam masih mentah.

“Agen yang disyaki menyebabkan keracunan ialah Salmonella spp, berdasarkan gejala dan tempoh inkubasi kes,” ujar Dr Feisul.

Beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah mengeluarkan arahan untuk menutup kantin sekolah selama 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Selain itu, denda juga telah dikenakan atas pelanggaran memakai aksesori semasa mengendalikan makanan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg