KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengesahkan 91 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya di sini mengalami keracunan makanan.
Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin, berkata murid terbabit kini diberi rawatan di beberapa hospital dan klinik sekitar ibu kota Kota Kinabalu.
Berikutan kejadian itu, pihak sekolah memberhentikan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta-merta bagi sesi petang.
Datuk Raisin berkata perkara itu mula dikesan pada kira-kira 12 tengah hari pada 22 Julai apabila guru mendapati ada murid mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain.
“Pihak sekolah melalui guru kemudian mendapatkan maklumat lanjut sekiranya terdapat murid lain yang terlibat dalam keracunan makanan.
“Maklumat awal yang diperoleh mendapati lebih daripada 20 orang murid terlibat dalam kes keracunan makanan di sekolah itu,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Julai, lapor Harian Metro.
Beliau berkata pihak sekolah juga bertindak segera mengumpul maklumat murid yang terbabit dan membawa beberapa murid ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Klinik Kesihatan Luyang.
“Sekolah juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar membawa anak masing-masing untuk mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran sekiranya terdapat simptom keracunan makanan,” ujarnya.
Datuk Raisin berkata berdasarkan laporan dikumpul Unit Hal Ehwal Murid Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK), seramai 55 murid dirawat di HWKKS, diikuti seramai 25 murid di HQE, Klinik Kesihatan Luyang (lapan murid), Klinik UTC Kota Kinabalu (seorang) dan dua lagi di Jeti SAFMA Kota Kinabalu.
Beliau menambah bahawa setakat ini tiada kes tahap kritikal.
“Seramai 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan 10 peratus lagi dibenarkan balik ke rumah.
“Pihak PPDKK telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini (23 Julai),” katanya.
Setakat ini, kata beliau, punca keracunan makanan itu masih disiasat dan belum dapat dipastikan sama ada ia berpunca daripada makanan di kantin sekolah atau RMT.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg