SEPANG (Selangor): Seramai 11 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, di Selangor, pada 24 Julai, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Vinod’ sejak 2024.

Semua 11 tertuduh, yang berusia antara 21 hingga 34 tahun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Husna Dzulkifly.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tuduhan kumpulan jenayah terancang di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Vinod’ di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, Selangor, antara April 2024 hingga 27 Jun 2026.

Mahkamah menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, semua suspek tiba di kompleks Mahkamah Sepang pada 9 pagi, diiringi kawalan ketat oleh pasukan D9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 22 Julai, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata semua suspek warga tempatan berusia 21 hingga 34 tahun itu ditahan dalam operasi khas pada 23 dan 24 Jun lalu.

Beliau berkata operasi berkenaan dilancarkan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Selangor bagi membanteras kumpulan jenayah terancang itu.

Datuk Kumar dilaporkan berkata ‘Geng Vinod’ diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan mempunyai 17 ahli berusia antara 20 hingga 34 tahun yang terdiri daripada penjenayah berulang.

Menurutnya kumpulan itu dikaitkan dengan kes rompakan berkumpulan, cubaan membunuh, rusuhan bersenjata, menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata serta khianat.