JOHOR BAHRU: Seramai 11 penjawat awam ditahan ketika sedang asyik berhibur di sebuah pusat hiburan di Batu Pahat, Johor, pada awal pagi 28 April.
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar, berkata dalam serbuan Ops Hibur dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor pada 1 pagi itu, pihaknya turut menahan 19 lagi individu yang didapati positif dadah.
Beliau berkata menerusi serbuan itu, polis membuat pemeriksaan terhadap 49 individu yang sedang berhibur.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati seramai 30 orang terdiri daripada 24 lelaki dan enam wanita positif dadah.
“Daripada jumlah itu, seramai 11 penjawat awam lelaki serta seorang remaja lelaki bawah umur didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine.
“Pusat hiburan terbabit mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan yang sah tetapi beroperasi melebihi masa ditetapkan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Kumar berkata semua yang ditahan berusia antara 17 hingga 52 tahun, manakala penjawat awam yang ditahan berusia antara 24 hingga 49 tahun.
Katanya dalam operasi sama, polis turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis yang juga didapati positif dadah.
“Kesemua yang ditahan direman selama empat hari bermula 28 April untuk siasatan lanjut,” tambahnya.
Dalam kes berasingan di Johor Bahru, polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah menerusi penahanan seorang lelaki dalam dua serbuan di sekitar Taman Pelangi, pada 26 April
Encik Kumar berkata lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di tepi jalan bersama sejumlah dadah bernilai RM2.39 juta ($0.68 juta) oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
“Polis percaya suspek tidak bergerak sendirian dan masih mengesan saki-baki ahli rakannya. Mereka menyasarkan pasaran di pusat hiburan dan orang perseorangan. Modus operandi adalah menjadikan bilik sewa sebagai stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg