KUALA LUMPUR: Seramai 112 mangsa dan 190 rumah terjejas dalam satu kebakaran besar membabitkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, pada pagi 1 April.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Timbalan Pesuruhjaya Mohd Zaini Abu Hassan, berkata 112 mangsa yang cedera itu melibatkan penduduk di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baharu.
“Daripada 112 mangsa itu, 63 orang dihantar ke Hospital Cyberjaya, Serdang dan Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut akibat melecur dan masalah pernafasan serta luka.
“Bakinya iaitu 49 mangsa menerima rawatan awal di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur pada 1 April, lapor Malaysiakini.
Encik Mohd Zaini berkata dua pusat perlindungan sementara telah dibuka iaitu Masjid Nurul Iman dan Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa yang terjejas.
Menurutnya, setakat ini tiada kematian dilaporkan tetapi siasatan masih dijalankan.
Beliau berkata, kebakaran saluran paip itu dikesan berlaku pada 8.10 pagi sebelum pihak berkuasa mula menerima aduan penduduk sekitar 8.20 pagi.
Encik Mohd Zaini berkata kebakaran membabitkan dua jenis paip gas mengandungi gas asli.
Sementara itu, selain daripada tempat kediaman yang terjejas, 159 pelbagai jenis kenderaan termasuk 11 motosikal turut mengalami kerosakan.
Pengarah JBPM Selangor, Encik Wan Razali Wan Ismail, berkata kebakaran berkenaan menyebabkan kenderaan milik penduduk berhampiran yang tidak sempat dialihkan mengalami kerosakan, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata seramai 78 anggota bomba dengan 22 aset dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal kebakaran.
Kebakaran dilaporkan kian reda dan terkawal sekitar 1.55 tengah hari 1 April berikutan tekanan gas yang semakin berkurangan.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut tiba di tempat kejadian kebakaran saluran paip gas Petronas itu.
Beliau tiba pada 4.57 petang bagi meninjau dan mendengar taklimat daripada pasukan keselamatan berhubung kejadian tersebut.
Ketibaannya diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sebelum ini, dalam satu kenyataan ringkas di Facebooknya, Datuk Anwar berkata kerajaan Selangor serta agensi terbabit perlu memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terjejas.
Beliau turut mendoakan agar urusan semua petugas di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights termasuk agensi penyelamat dipermudahkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg