SUBANG JAYA (Selangor): Seorang penduduk kawasan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas, Petronas dekat sini, tidak menyedari tombol pintu rumahnya bertukar merah akibat terlalu panas.
Encik Danial Radziman, 27 tahun, dari Kampung Tengah di sini, melecur kedua-dua tangan terkena bahang ketika keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri selepas menyedari api marak.
“Sebaik pegang tombol pintu untuk keluar, tangan saya terus melecur. Saya tak perasan tombol pintu sudah bertukar merah akibat terlalu panas.
“Saya gagahkan juga buka pintu dan bawa isteri serta adik saya meninggalkan rumah dan terus ke farmasi berhampiran untuk merawat lecur,” ceritanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau sekeluarga kini berlindung di pusat perlindungan sementara di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, di sini.
Encik Danial hanya sempat menyelamatkan motosikalnya manakala sebahagian daripada keretanya cair akibat bahang panas.
Sementara itu, penduduk sekitar lokasi kebakaran berkenaan mula ditempatkan di pusat perlindungan sementara terbabit.
Setakat 12 tengah hari, tiga keluarga membabitkan 26 orang termasuk dua bayi mendaftar di pusat perlindungan sementara berkenaan.
Pihak berkuasa termasuk petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berada di pusat perlindungan sementara berkenaan bagi mendaftar penduduk sekitar yang mendapatkan perlindungan.
Beberapa petugas kesihatan turut dilihat berada di pusat perlindungan sementara terbabit bagi memberikan bantuan perubatan.
Selain pusat perlindungan sementara di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, difahamkan ada penduduk mendapatkan perlindungan di Masjid Nurul Iman di Kampung Tengah, Puchong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg