Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

12 ditahan ponteng puasa di KL, ada masalah kesihatan dan kerja berat antara alasan

Mar 12, 2025 | 3:39 PM
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Encik Hanifuddin Roslan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Encik Hanifuddin Roslan. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Dua belas individu ditahan selepas didapati tidak berpuasa dalam operasi pemantauan dilakukan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang 11 hari Ramadan.

Pelbagai alasan diberikan antaranya tidak berpuas kerana masalah kesihatan, selain faktor pekerjaan membabitkan kerja berat.

Selain itu, ada yang mendakwa tidak mengetahui peruntukan undang-undang berkaitan larangan makan di tempat awam atau menghormati Ramadan.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jawi, Encik Hanifuddin Roslan, dengan tindakan diambil selepas mereka didapati mengingkari Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559) atas kesalahan tidak menghormati Ramadan, lapor Berita Harian Malaysia.

Daripada 12 yang ditahan itu, tujuh diberikan Notis Surat Perintah Hadir (SPH) bagi tujuan siasatan dan akan ditempatkan di bawah program bimbingan khas, Kursus Pemantauan Akhlak (KPA) anjuran Jawi.

Mengulas operasi dilakukan, Encik Hanifuddin berkata enam rondaan dijalankan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membabitkan pemantauan terhadap 18 premis serta dua lokasi pusat perniagaan.

“Di Putrajaya, empat rondaan dilakukan dengan 25 premis dan dua lokasi perniagaan dipantau, manakala di Labuan membabitkan enam rondaan meliputi pemantauan 30 premis serta dua lokasi awam.

“Tujuh amaran atau teguran turut dikeluarkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan pendekatan menyantuni masyarakat menerusi edaran risalah serta tampalan poster bertemakan ‘Ramadan Dihormati, Ummah Dirahmati’.

“Individu dikenakan tindakan berusia lingkungan 30 hingga 78 tahun, membabitkan mereka yang bekerja sebagai penghantar barang dan makanan, bekerja sendiri serta individu yang tidak bekerja,” katanya.

Encik Hanifuddin turut mengingatkan bahawa mana-mana individu beragama Islam yang melanggar Seksyen 15 Akta 559 boleh dikenakan tindakan tegas, yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 ($300) atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman lebih berat dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg