Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hasil cukai M’sia rugi RM2b; 34 anggota, pegawai Kastam ditahan

May 24, 2024 | 12:13 PM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Antara individu yang ditahan dalam Op Samba 2.0 yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula 11 hingga 25 Mac yang sehingga kini dikesan telah menyebabkan ketirisan iaitu kebocoran sehingga RM2 bilion. - Foto SPRM

KUALA LUMPUR: Seramai 34 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia bersama 27 individu dan pemilik syarikat ditahan menerusi Op Samba 2.0 yang dijalankan bermula 11 hingga 25 Mac.

Operasi itu dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan operasi itu menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Jabatan Kastam yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion ($570 juta).

Kenyataan itu menyebut ia adalah satu kerugian hasil negara yang amat besar dan memberi kesan negatif berterusan kepada ekonomi negara sekiranya tidak dibendung.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup,” kata SPRM dalam kenyataan itu, lapor Harian Metro.

Susulan penahanan individu terbabit, Bahagian AML SPRM merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

“SPRM juga membekukan sebanyak 231 akaun bank milik individu, syarikat dan ‘akaun keldai’ berjumlah kira-kira RM18 juta yang terbabit dengan kegiatan sindiket penyeludupan berkenaan.

“Setakat ini, dua pegawai Kastam sudah dituduh dan seramai 23 anggota dan pegawai Kastam lain akan didakwa di enam Mahkamah Sesyen berasingan di seluruh negara sehingga 6 Jun nanti.

“Kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, SPRM mengesan modus operandi digunakan sindiket dilumpuhkan dalam Op Samba adalah melalui forwarding agent atau ejen penghantar yang bertindak sebagai orang tengah bagi membayar rasuah kepada penguat kuasa.

Menurut sumber, anggota dan pegawai Kastam yang bertugas dalam pemeriksaan kargo diberi sogokan sebagai balasan melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan sewajarnya.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai melakukan perbuatan penyeludupan dan menyuap pegawai agensi penguat kuasa berkenaan sejak 2017 hingga 2024.

“Hasil siasatan menunjukkan pegawai-pegawai itu sudah menerima rasuah kira-kira RM4.7 juta daripada sindiket melalui akaun keldai untuk mengelak transaksi kewangan berkenaan dikesan.

“Sindiket juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, pengurup, kegiatan judi dalam talian dan melalui syarikat pinjaman wang berlesen.

“Sebanyak 19 ‘syarikat hantu’ ditubuhkan dengan menjalankan pelbagai perniagaan aktiviti pengubahan wang haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Menurut sumber itu juga, tujuh lagi anggota dan pegawai disyorkan kepada agensi berkenaan untuk dikenakan tindakan tatatertib dan tuduhan sedang dijalankan sepanjang Mei sehingga 6 Jun nanti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg