SHAH ALAM (Selangor): Seorang lelaki ‘keldai dadah’ sanggup menahan kesakitan lebih 10 jam untuk menyeludup kokain ke Malaysia dengan menelan ketulan plastik berisi dadah itu ke dalam perutnya.
Bagaimanapun, percubaan lelaki warga negara Amerika Latin itu menyeludup kira-kira 1.2 kilogram kokain melalui penerbangan dari Peru dan Dubai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tumpas selepas dia ditahan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, pada 17 Mei.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata bertindak atas maklumat Polis Antarabangsa (Interpol), pihaknya menahan suspek, 20 tahun, dalam keadaan mencurigakan di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA kira-kira 8.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan dan imbasan X-ray oleh pegawai perubatan mengesan imej mencurigakan di dalam perut suspek. Suspek kemudian ditahan di Hospital Cyberjaya dengan pemantauan polis.
“Hasil pemantauan selama tiga hari, suspek mengeluarkan sejumlah 95 ketulan kapsul berwarna putih kekuningan berisi bahan disyaki dadah jenis kokain anggaran berat 1,152 gram,” kata Datuk Hussein, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata semasa disoal siasat, suspek, yang bekerja sebagai mekanik, mendakwa dia menaiki penerbangan dari Peru dan transit di Dubai sebelum menaiki penerbangan ke Malaysia.
Suspek mendakwa diarah oleh sebuah kartel dadah supaya membawa bekalan dadah itu ke Malaysia dan menginap di sebuah hotel berhampiran KLIA sementara menunggu arahan selanjutnya.
“Siasatan masih dijalankan sama ada bekalan dadah itu untuk pasaran di negara ini atau Malaysia hanya menjadi transit sebelum suspek diarah bergerak ke negara lain oleh kartel dadah.
“Kita (polis) tidak menolak bekalan dadah itu untuk pasaran luar Malaysia memandangkan pasaran kokain di negara ini sangat rendah.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya, dengan menambah bahawa dadah itu dianggarkan bernilai RM230,400 ($66,333).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg