Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

128 warga asing, 4 majikan tempatan ditahan dalam serbuan kilang di Johor

May 30, 2025 | 3:12 PM
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menjalankan serbuan terhadap sembilan kilang di lima daerah iaitu Johor Bahru, Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menjalankan serbuan terhadap sembilan kilang di lima daerah iaitu Johor Bahru, Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat. - Foto JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA NEGERI JOHOR

Seramai 128 warga asing bersama empat lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi bersepadu dikenali sebagai ‘Ops Mahir’ yang dilaksanakan serentak di lima daerah di Johor pada 28 Mei.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi itu merupakan pelaksanaan kali kedua di bawah ‘Ops Gempur Sasar’, yang menumpukan pemeriksaan terhadap sektor perkilangan di seluruh negara.

Menurutnya, operasi yang bermula pada 10.30 pagi itu melibatkan 122 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar, dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Serbuan dijalankan secara serentak di sembilan kilang di lima daerah iaitu Johor Bahru, Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat.

“Seramai 511 individu termasuk warga tempatan telah diperiksa dalam operasi berkenaan, dengan 128 orang warga asing berusia antara 21 dengan 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan pada 30 Mei.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 44 lelaki warga Bangladesh; lapan lelaki warga India; sembilan lelaki warga Pakistan; 28 lelaki warga Nepal; enam lelaki dan dua wanita warga Indonesia; enam lelaki dan enam wanita warga Myanmar; tiga lelaki dan seorang wanita warga Vietnam; serta seorang wanita warga Kemboja.

Turut ditahan empat lelaki tempatan berusia antara 50 dengan 60 tahun yang dikenal pasti sebagai pemilik syarikat, pengurus gudang dan pengurus syarikat pembekalan pekerja asing.

Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati), serta Seksyen 55E akta sama kerana membenarkan Pati memasuki atau tinggal di dalam premis.

Sepanjang operasi tersebut, sebanyak 10 notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada beberapa individu bagi membantu siasatan.

Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nenas bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Datuk Mohd Rusdi menegaskan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor akan terus mempertingkat usaha penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran warga asing yang melanggar undang-undang imigresen di negeri itu.

Beliau turut menekankan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana majikan, pemilik premis atau individu yang menggaji serta melindungi Pati.

Menurutnya, Jabatan Imigresen turut menyeru Pati yang layak supaya menyertai Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) yang bermula 19 Mei 2025 dan akan berlangsung hingga 30 April 2026.

Ia bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal secara sukarela dan teratur.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg