Dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Johor sejak awal 2025 berjaya ditumpaskan menerusi dua operasi khas berasingan dengan rampasan dadah keseluruhan bernilai lebih RM2.3 juta ($697,652).
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Pontian.
Dalam operasi pertama yang dijalankan bermula 20 Mei pada 3.30 petang hingga 21 Mei pada 7.30 pagi di sekitar Johor Bahru, pihak polis menahan tujuh individu iaitu lima lelaki tempatan, seorang wanita warga Vietnam dan seorang wanita warga Myanmar berusia lingkungan 29 hingga 54 tahun.
“Ujian air kencing mendapati enam daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin, manakala lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan rumah teres jenis gated and guarded sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Januari tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 28 Mei.
“Siasatan juga mendapati kumpulan ini menggunakan aplikasi WeChat bagi semua urusan pengedaran dadah dengan bekalan dadah ini dipercayai datang dari utara Semenanjung,” katanya.
Tambahnya, rampasan dalam operasi tersebut melibatkan serbuk ecstasy seberat 7,080 gram (g) bernilai RM1,182,360; heroin seberat 1,372.36g bernilai RM13,174; ketamin seberat 139.34g bernilai RM27,868; syabu seberat 123.10g bernilai RM13,541; dan pil Erimin 5 seberat 39.03g (127 biji) bernilai RM2,540.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dalam operasi ini ialah RM1,239,483. Dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan oleh 31,899 orang penagih,” katanya.
Turut disita dalam operasi ini ialah tiga buah kereta pelbagai jenis bernilai RM85,000; dua motosikal bernilai RM10,500; wang tunai sebanyak RM9,320; serta pelbagai jenis barang kemas bernilai RM32,453.20, menjadikan jumlah nilai sitaan mencecah RM137,273.20.
Dalam operasi berasingan yang dijalankan pada 21 Mei 2025 pada 6 petang hingga 11 malam di Pontian, seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun berjaya diberkas.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Sindiket ini juga menggunakan rumah teres sebagai stor penyimpanan dadah dan dipercayai aktif sejak Mac tahun ini,” katanya.
Rampasan melibatkan serbuk ecstasy seberat 6,404.16g bernilai RM1,069,494; ketamin seberat 5.66g bernilai RM1,132; syabu seberat 20.04g bernilai RM2,204; pil ecstasy seberat 31.74g (76 biji) bernilai RM3,800; dan pil yaba seberat 1.06g (8 biji) bernilai RM120. Jumlah nilai rampasan dadah adalah RM1,076,750.
Dadah ini dianggarkan boleh digunakan oleh 21,559 orang penagih. Polis turut menyita wang tunai sebanyak RM600. Secara keseluruhan, jumlah rampasan dadah bagi kedua-dua operasi ini ialah RM2,316,233.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg