Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1,448 saman trafik dikeluarkan, 84 ditahan dalam Ops Noda di Johor

May 16, 2025 | 2:45 PM
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar. - Foto fail NSTP

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengeluarkan sebanyak 1,448 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi pelaksanaan Op Utama yang dijalankan selama tiga hari bermula 12 Mei hingga 14 Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata antara kesalahan utama yang dikenal pasti ialah tidak mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.

“Kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah mencatatkan jumlah tertinggi dengan 547 saman, diikuti 475 saman kerana pemanduan laju,” katanya dalam kenyataan, lapor The Star.

Beliau berkata sebanyak 60 saman turut dikeluarkan atas kesalahan memotong di garisan berkembar, 55 saman kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan 48 saman atas kesalahan memotong barisan.

Selain itu, sebanyak 263 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lain, termasuk penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (69), aksesori tidak patuh piawaian (65), ubah suai ekzos (48), tiada lesen memandu (31), lesen tamat tempoh (27), tidak memakai tali pinggang keledar (12) dan ketiadaan perlindungan insurans (11).

Menurut beliau, statistik kemalangan dari Januari hingga April tahun ini menunjukkan bahawa pemanduan melebihi had laju merupakan salah satu punca utama insiden di jalan raya.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan jalan raya dan akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, seramai 84 individu ditahan dalam Ops Noda Khas yang dijalankan serentak di seluruh Johor dari 12 hingga 13 Mei, bagi membanteras aktiviti pelacuran dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.

“Tangkapan melibatkan 15 lelaki tempatan, dua wanita tempatan, enam lelaki warga asing dan 61 wanita warga asing berusia antara 19 hingga 55 tahun,” katanya.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah telefon bimbit, kondom, minyak urut, tuala, mesin kad perakam waktu kerja, serta wang tunai sebanyak RM8,553 ($2,597).

Katanya, kes disiasat mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Enakmen Hiburan Negeri Johor, Akta Imigresen 1959/63 dan Kanun Keseksaan.

Beliau turut menyeru orang awam menyalurkan maklumat kepada polis melalui talian hotline 019-2792095 atau Pusat Kawalan Johor di 07-2212999.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg