JOHOR BAHRU: Seorang warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada 15 Mei atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam nahas di Lebuhraya Linkedua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Irsyad Abdul Hameed, 27 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis Maserati secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal itu, Encik A Vasanthraj, 32 tahun, di Kilometer 0.6 lebuh raya berkenaan sekitar 6.40 petang.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000 ($15,142) jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu dalam tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan selain lesen memandu disahkan oleh mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh diwakili peguam Encik Baharudin Bahrim dan Cik Zarina Ismail Tom.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM12,000 ($3,620) dengan dua penjamin warga Malaysia serta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.
Sementara itu Berita Harian (BH) difahamkan yang Muhammad Irsyad bertugas di Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Menurut jurucakap IMDA semasa dihubungi: “Memandangkan kes ini sedang berjalan di mahkamah Malaysia, kami tidak boleh memberikan komen lebih lanjut.”
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 10 Jun dan penyerahan dokumen. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg