Seramai 147 lelaki warga asing dan tiga lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi bersepadu yang menyasarkan pusat cuci kenderaan di seluruh Wilayah Pembangunan Iskandar, Johor Bahru, pada 2 Julai.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata secara keseluruhan, 64 premis pusat cuci kenderaan telah diperiksa dalam operasi yang dijalankan serentak.
“Tangkapan melibatkan individu berusia antara 21 dengan 57 tahun yang dipercayai melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan pada 2 Julai.
Selain itu, beberapa individu turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan serta Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 atas kegiatan perjudian dalam talian.
“Dalam operasi tersebut, tindakan penguatkuasaan lain turut diambil ke atas pemilik premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen atau gagal mematuhi syarat perniagaan.
“Antara tindakan yang dikenakan termasuk kompaun oleh pihak berkuasa tempatan di bawah Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976, sitaan peralatan mencuci kenderaan, serta tindakan di bawah Seksyen 89(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi sambungan air secara haram,” jelasnya.
Selain itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan kompaun terhadap premis yang gagal mempamerkan papan tanda, memiliki lesen tamat tempoh dan tidak mencatat perakuan perniagaan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula mengeluarkan kompaun terhadap premis yang tidak mempamerkan tanda harga seperti diperuntukkan dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Menurut Datuk Kumar, operasi bersepadu itu berjaya mencapai matlamat utama untuk memastikan pusat cuci kenderaan di Johor mematuhi undang-undang, selain membanteras kegiatan haram yang berselindung di sebalik perniagaan sah.
Beliau berkata pihak polis akan terus komited dalam menjalinkan kerjasama strategik bersama semua agensi penguat kuasa bagi menjaga kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat negeri Johor.
Operasi itu dilaksanakan polis Johor dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, KPDN, Jabatan Tenaga Kerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, SSM, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Kulai, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ Sdn Bhd.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg