Polis Johor telah berjaya merampas dadah bernilai RM83.18 juta ($25.13 juta) dan sitaan harta berjumlah RM7.49 juta bermula Januari hingga Mei 2025.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor juga merekodkan sebanyak 10,794 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang tempoh berkenaan.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 21 sindiket pengedaran dadah berjaya dilumpuhkan melibatkan tangkapan 58 ahli sindiket. Rampasan dadah yang berkait dengan sindiket ini sahaja bernilai RM81.07 juta, manakala pelbagai aset turut disita dengan nilai RM2.26 juta.
“Kejayaan JSJN ini bukan sahaja mengekang penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat, malah mengganggu struktur kewangan sindiket-sindiket terbabit,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor pada 18 Jun.
Dalam pada itu, beliau berkata jenayah penipuan dalam talian atau ‘scammer’ terus menjadi ancaman serius terhadap keselamatan kewangan masyarakat.
“Polis Johor melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi jenayah ini termasuk penubuhan Bahagian Siasatan Jenayah Siber, CCID Scam Response Centre (CCID SRC), pengendalian portal semakmule.rmp.gov.my serta kempen kesedaran yang giat dijalankan menerusi media sosial rasmi JSJK dan PDRM.
“Orang ramai perlu lebih berwaspada terhadap tawaran luar biasa yang disebarkan melalui pelbagai platform digital dan jangan mudah percaya dengan tawaran tidak munasabah, tidak mendedahkan maklumat perbankan atau kata laluan sekali guna (OTP) serta mengelak daripada mengklik pautan yang mencurigakan,” ujarnya.
Bagi aspek keselamatan ekonomi negara, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) turut memainkan peranan penting melalui operasi berterusan terhadap kegiatan penyeludupan.
“Sebanyak lima serbuan berjaya dilaksanakan membabitkan penyelewengan minyak sawit bersubsidi dengan nilai rampasan RM1.11 juta, selain satu kes melibatkan rampasan rokok tidak bercukai bernilai RM48,000,” tambahnya.
Datuk Kumar turut menyentuh isu peningkatan kes rogol melibatkan remaja yang menurut beliau amat membimbangkan.
“Sepanjang tempoh 2023 hingga 2024, sebanyak 54 kes telah dilaporkan dan antara faktor yang dikenal pasti ialah pengaruh bahan lucah di media sosial, kurangnya kesedaran terhadap undang-undang jenayah seksual serta kelemahan institusi keluarga yang menyebabkan anak-anak kurang mendapat perhatian dan kawalan daripada ibu bapa.
“Sebagai langkah proaktif, Unit Siasatan Seksual (D11) PDRM Johor telah mengadakan sesi ceramah di sekolah-sekolah untuk memberi kesedaran kepada pelajar mengenai bahaya dan implikasi jenayah seksual.
“Namun begitu, beliau menyeru semua pihak khususnya ibu bapa agar lebih prihatin terhadap anak-anak dan membentuk mereka dengan nilai agama serta moral yang tinggi,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menekankan bahawa trend kemalangan jalan raya di Johor semakin meningkat dan kebanyakannya berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri.
“Walaupun pelbagai langkah telah diambil termasuk penguatkuasaan undang-undang lalu lintas, jumlah kemalangan tetap menunjukkan peningkatan.
“Saya menyeru agar semua pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab dan berhemah ketika memandu. Sikap berhati-hati, patuh kepada undang-undang dan sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling amat penting dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg