Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dalang sindiket dadah guna media sosial dicekup di Johor Bahru

Jun 24, 2025 | 11:26 AM
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar (dua dari kanan), menunjukkan dadah yang dirampas dalam satu operasi polis di Mutiara Rini, Johor Bahru.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar (dua dari kanan), menunjukkan dadah yang dirampas dalam satu operasi polis di Mutiara Rini, Johor Bahru. - Foto FACEBOOK POLIS JOHOR

JOHOR BAHRU: Kegiatan seorang lelaki yang baru menceburi dunia pengedaran dadah sejak enam bulan lalu terbongkar apabila dia diberkas bersama dua wanita warga Vietnam dalam satu operasi polis di Mutiara Rini, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata serbuan pada 14 dan 15 Jun membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah seberat lebih 42 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM6.87 juta ($2.08 juta).

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket tersebut menyewa dua rumah teres dua tingkat untuk dijadikan lokasi memproses, membungkus dan menyimpan bekalan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.

“Rumah pertama disewa atas nama suspek sejak April 2023 dan kami menemui 2.67kg serbuk dipercayai ecstasy dan 368 gram ganja di premis berkenaan.

“Suspek kemudian membawa pasukan polis ke rumah kedua yang disewa kira-kira sebulan lalu, terletak hanya satu kilometer dari lokasi pertama.

“Di situ, kami merampas 38.02kg serbuk disyaki ecstasy dan 1.37kg ketamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 23 Jun.

Menurut Datuk Kumar, nilai keseluruhan dadah yang dirampas mampu menampung penggunaan seramai 146,195 orang penagih.

Polis turut merampas alatan memproses dan membungkus dadah, dua kereta, wang tunai RM49,150, $2,580 (RM8,531) serta pelbagai barang kemas, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan bernilai lebih RM7.14 juta.

Sindiket berkenaan tambah beliau, dipercayai menjalankan kegiatan pemasaran dadah secara aktif melalui media sosial dan menjual dalam paket kecil seberat antara 30 dengan 100 gram pada harga RM250 hingga RM350, lapor Harian Metro.

“Mereka mengenal pasti pelanggan secara langsung dan ada kalanya menggunakan penghantaran terus atau meninggalkan dadah di lokasi tertentu untuk diambil sendiri,” jelasnya.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif methamphetamine, ketamin dan benzodiazepines.

Semua suspek kini direman hingga 26 Jun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg