Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

262 aduan berkaitan haji dan umrah, babit kerugian dianggarkan RM4.2j

Aug 6, 2025 | 10:53 AM
haji, umrah
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Zulkifli Hasan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 204 aduan berkaitan penipuan umrah dengan anggaran kerugian RM3.6 juta ($1.1 juta) direkodkan sejak 2024 hingga Mei lalu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata dalam tempoh sama, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) turut menerima 58 aduan berkaitan penipuan pakej haji dengan anggaran kerugian lebih RM600,000.

Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah pula, beliau berkata sepanjang musim haji 1446 Hijrah atau 2025 ini, sekurang-kurangnya 97 rakyat Malaysia ditahan dan diusir pihak berkuasa Arab Saudi.

“Manakala 34 individu didenda kerana cuba mengerjakan ibadah haji tanpa visa yang sah,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat (Parlimen) pada 5 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Jeli, Encik Zahari Kechik, yang ingin tahu jumlah kerugian yang ditanggung jemaah haji dan umrah bagi 2024 dan 2025, selain tindakan kerajaan Malaysia dalam menangani masalah jemaah yang sering tertipu oleh ejen yang menyediakan pakej haji atau umrah.

Berhubung status kes 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan haji baru-baru ini, Dr Zulkifli berkata Lembaga Tabung Haji (TH) dimaklumkan bahawa sebanyak 25 laporan polis dibuat pengadu berkaitan kes penipuan pakej haji pada 23 Jun lalu.

“Pada 26 Jun didapati terdapat pelanggaran peruntukan Seksyen 21 A,C dan D Akta Tabung Haji 1995 oleh pihak yang mengelolakan perjalanan haji terbabit walaupun mereka bukan pemegang lesen pengelola Jemaah haji (PJH) yang sah bagi musim haji 2025.

“Pada 29 Julai, dua individu dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1995 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27(2)(a) akta yang sama, jika disabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata Motac juga dimaklumkan tentang pelanggaran peruntukan bawah akta berkenaan oleh syarikat terbabit dan oleh itu kementerian boleh mengambil tindakan penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 kerana menjalankan perniagaan sehingga memudaratkan kepentingan awam.

Menyentuh laporan jemaah haji yang terkandas atas cubaan menggunakan visa pelancong bagi tujuan melaksanakan haji secara tidak sah bagi musim haji tahun ini, Datuk Zulkifli menjelaskan agensi atau individu terbabit bukan dalam kalangan PJH yang dilesenkan TH.

“TH hanya boleh ambil tindakan terhadap PJH berlesen dengan TH membatalkan lesen dan menyenaraihitamkan atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg