KUALA LUMPUR: Seramai 24 individu termasuk 17 rakyat Malaysia serta seorang warga Singapura yang dipindah keluar dari Iran terpaksa melalui laluan darat hampir 1,000 kilometer, dengan perjalanan keseluruhan 24 jam tanpa henti, sebelum tiba di Malaysia pada 22 Jun malam.
Duta Besar Malaysia ke Iran, Encik Khairi Omar, berkata kumpulan itu menggunakan laluan ke timur bagi mengelakkan kawasan yang dikenal pasti sebagai zon konflik ekoran pertikaian antara Israel dengan Iran.
Kumpulan itu yang turut merangkumi enam tanggungan warga Iran, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.50 malam 22 Jun menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH 781, selepas melalui proses pemindahan keluar yang bermula dari sempadan Iran-Turkmenistan sejauh 1,120 kilometer secara darat.
“Kami pilih laluan yang jauh daripada punca serangan yang datang dari arah barat. Alhamdulillah, kami terima kerjasama baik daripada pemerintah Turkmenistan yang membenarkan rakyat asing melalui sempadan.
“Ramai juga warga asing lain yang cuba keluar serentak, jadi kami terpaksa bersabar kerana proses pelepasan di sempadan agak panjang.
“Kami berada dalam perjalanan selama lebih 24 jam tanpa henti. Transit di Bangkok tengah hari tadi (22 Jun), dan akhirnya selamat tiba di KLIA,” katanya pada sidang media sejurus sahaja tiba di KLIA bersama kumpulan 24 individu yang berjaya dikeluarkan dari Iran itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa bantuan pemindahan itu turut diberikan kepada warga Singapura dan Brunei.
“Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat juga membantu pergerakan dan penerbangan warga Brunei dari Turkmenistan pulang ke negara asal masing-masing.
“Penglibatan seorang warga Singapura dalam operasi pemindahan ini serta bantuan kepada warga Brunei turut mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat negara anggota Asean, sejajar dengan semangat perpaduan,” katanya.
Menurut Encik Khairi, Wisma Putra akan memantau 12 lagi rakyat Malaysia yang terdiri daripada penuntut dan mereka yang berkahwin dengan warga Iran, yang masih berada di beberapa lokasi di negara itu termasuk di Teheran dan Syiraz.
Encik Khairi berkata ketika ketegangan memuncak di Iran menyusuli serangan balas oleh Israel, penduduk di negara itu terpaksa bergantung kepada kaedah komunikasi lama seperti sistem pesanan ringkas (SMS) untuk berhubung dengan ahli keluarga dan pihak berkepentingan.
Ia menyusuli perkhidmatan WhatsApp di Iran yang telah disekat ketika ini, tambahnya.
Ketegangan di Iran tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, yang mendorong Teheran melancarkan serangan balas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg