Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

182 bakal jemaah M’sia terpedaya dengan surat tawaran haji palsu

Jun 6, 2025 | 11:22 AM
Malaysia, haji, palsu, terkandas, Tabung Haji
Malaysia merekodkan banyak kes jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan terpedaya dengan penipuan pakej haji. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai 182 bakal jemaah haji, yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang 3 dan 4 Jun, dipercayai terpedaya selepas mendapat surat tawaran haji palsu yang kononnya dikeluarkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Mangsa dikatakan menerima surat menggunakan logo TH yang memaklumkan mereka dipilih sebagai calon bagi menunaikan haji pada 2025 dan urusan penempahan tiket serta hotel pula kononnya dilakukan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) berdaftar dengan TH.

Berita Harian Malaysia melaporkan sumber menyatakan kes itu berjaya dibongkar Pasukan Petugas Khas yang dibentuk untuk menangani isu jemaah haji terkandas dan membanteras penipuan pakej haji.

Ia terbongkar selepas syarikat PJH itu membuat semakan silang dengan TH bagi mengetahui sama ada kumpulan jemaah terbabit mendapat visa haji dan memerlukan penginapan di Makkah.

Katanya selepas pengesahan TH diperoleh, syarikat PJH itu enggan melayani permintaan penganjur jemaah haji berkenaan dan kes dilaporkan kepada pasukan petugas yang kemudian membuat pemantauan di KLIA serta mengesan kumpulan jemaah terkandas itu.

“Seramai 82 bakal jemaah haji yang berkumpul di KLIA pada 3 Jun lalu gagal terbang ke tanah suci seperti dijanjikan kerana tiada tiket penerbangan dan visa yang dijanjikan.

“Baki 100 bakal jemaah lagi dijanjikan penerbangan pada 5.45 petang (3 Jun) dan sebahagian besar mereka yang mengetahui kumpulan pertama gagal terbang pada awal pagi itu, tidak muncul di KLIA, manakala mereka yang datang kemudian pulang begitu saja,” katanya.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan penubuhan pasukan petugas diterajui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dianggotai beberapa pihak berkuasa serta agensi kerajaan termasuk TH, bagi menangani isu jemaah haji terkandas serta membanteras penipuan pakej haji.

Pasukan petugas khas itu akan menangani isu terbabit secara bersepadu bagi menghentikan kesalahan dan penipuan berkaitan urusan haji di negara ini secara tuntas.

Polis setakat ini pula menerima tujuh laporan berhubung isu jemaah haji terkandas itu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg