Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyanyi Amir UK’s antara 82 mangsa tipu tajaan haji

Jun 5, 2025 | 11:36 AM
Haji, kes tak tunai janji, Amir UKs
Penyanyi legenda Malaysia, Amir UK’s dan isterinya Cik Sarimah Ahmad pada sidang media di Ibu Pejabat Polis KLIA, Sepang. - Foto HARIAN METRO

SEPANG (Selangor): Hasrat menunaikan haji secara percuma kerana dipercayai kononnya ia ditaja hartawan dermawan, ternyata hanya indah khabar daripada rupa.

“Walaupun semua kos ditanggung sepenuhnya, namun saya tetap berasa sedih dan kecewa kerana perancangan menunaikan ibadah haji lebur begitu saja apabila ‘tawaran’ diberikan tiada sehingga kini,” kata penyanyi legenda Malaysia, Amir UK’s.

Amir, atau nama sebenarnya, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 56 tahun, antara 82 bakal jemaah haji yang terpaksa melupakan hasrat mengerjakan ibadah haji di Makkah apabila didakwa ditipu pihak tidak bertanggungjawab dan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Jun.

Amir berkata beliau dan isteri, Cik Sarimah Ahmad, 51 tahun, mendapat tawaran itu daripada rakan sekerja isterinya yang mendakwa semua kos akan ditaja sepenuhnya oleh pihak berkenaan yang didakwa sebagai hartawan yang enggan dikenali, pada 9 April lalu.

Menurutnya, semua urusan berkaitan perkara itu diuruskan oleh rakan isterinya yang turut menjadi mangsa dan bukan ejen pihak berkenaan.

Mereka juga dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp ‘Tetamu Allah Haji Akbar 2025’.

“Kami teruja dan setuju terima tawaran sebab ia peluang sukar diperoleh. Segala maklumat kami terima melalui satu kumpulan WhatsApp itu, namun pihak agensi pelancongan terkenal yang didakwa menguruskan perkara itu tiada dalam kumpulan berkenaan.

“Kami menjalani kursus haji di Ampang pada 24 Mei lalu dan surat tawaran yang mempunyai kepala surat agensi itu diterima atas nama kami pada 27 Mei. Kami juga dijanjikan visa mujamalah.

“Kami dijadualkan berlepas ke tanah suci pada 5 petang, Ahad lalu (1 Jun), malah semua urusan termasuk mengambil suntikan (vaksin) dan perkara lain yang menelan kos hampir RM4,000 ($1,213) dibayar sendiri kerana pihak berkenaan mendakwa akan dibayar semula.

“Malah, duit belanja juga akan diberikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA pada 4 Jun.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak menyedari pengumuman yang dibuat dalam kumpulan WhatsApp berkenaan yang memberitahu penerbangan mereka tiada pada Ahad lalu.

Penyanyi lagu, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu itu berkata biarpun sudah menunggu lama, namun sehingga hampir waktu penerbangan dijadual berlepas, pihak berkenaan yang mahu membawa visa dan pasport masih belum tiba.

Menurutnya, ketika itu beliau berasa tidak sedap hati sebelum menyedari mereka mungkin menjadi mangsa penipuan.

“Saya percaya tawaran itu kerana mempunyai surat daripada pihak agensi pelancongan itu dan sebagai orang yang ditaja, saya percaya dengan semua urusan diuruskan pihak berkenaan sebab semua itu adalah percuma.

“Saya juga tidak tahu mengenai agensi itu dan siapa dalangnya. Saya sudah membuat laporan polis dan selepas itu pihak terbabit memberitahu pasport kami sudah boleh diambil di sebuah rumah di Setia Alam,” katanya yang berharap orang ramai akan lebih berhati-hati terhadap sebarang tawaran selepas ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Sulizme Affendy Sulaiman, mengesahkan pihaknya menerima tujuh laporan berhubung kes berkenaan yang dibuat oleh beberapa anggota jemaah haji yang terkandas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg