Topik diikuti
Pergi ke BHku19 pusat data Johor diluluskan bekalan 21.277j liter air sehari
Jumlah bersamaan 1.05 peratus pengeluaran air terawat negeri; keperluan penduduk diberi keutamaan
19 pusat data Johor diluluskan bekalan 21.277j liter air sehari
ISKANDAR PUTERI (Johor): Bekalan air yang diluluskan kepada 19 pusat data yang beroperasi di Johor berjumlah kira-kira 21.277 juta liter sehari, bersamaan 1.05 peratus daripada purata pengeluaran air terawat negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata pusat data berkenaan pada awalnya memohon bekalan sebanyak 73.088 juta liter sehari.
“Kerajaan Johor tetap memberi perhatian terhadap pertumbuhan permintaan industri pusat data supaya tidak menjejaskan keperluan pengguna domestik pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-16 di Dewan Negeri Johor, di sini, pada 20 November.
Menurutnya, purata pengeluaran air terawat Johor ialah 2,034 juta liter sehari. Bekalan yang diluluskan kepada pusat data itu turut bersamaan 3.35 peratus daripada penggunaan air bagi kegiatan perusahaan.
“Setiap permohonan pusat data perlu memenuhi syarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor sebelum dibenarkan mengemukakan permohonan kebenaran merancang kepada pihak berkuasa tempatan.
“Penilaian melibatkan keupayaan bekalan air dan elektrik, kecekapan penggunaan sumber serta kaedah penyejukan yang menjimatkan air,” katanya.
Encik Mohamad Fazli berkata sembilan daripada 19 pusat data berkenaan menggunakan kaedah penyejukan yang menjimatkan penggunaan air.
Pengusaha yang masih memilih kaedah penyejukan menggunakan banyak air akan diminta menggunakan sumber lain melalui Johor Special Water, termasuk air kumbahan yang dirawat mengikut keperluan perusahaan.
Beliau turut menolak dakwaan yang mengaitkan penyusutan paras air di beberapa empangan dengan pusat data, sebaliknya menyatakan keadaan itu berpunca daripada kemarau panjang dan El Nino.
Menurutnya, 19 pusat data tersebut menerima bekalan air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Semangar dan LRA Sungai Johor, yang memperoleh air mentah dari Sungai Johor.
“Empangan Machap dan Lebam tidak membekalkan air kepada pusat data yang sedang beroperasi,” katanya.
Empangan Gunung Pulai 2 dan Pontian Kechil pula membekalkan sebahagian besar keperluan pengguna di Pontian, manakala Upper Layang dan Lower Layang membekalkan kawasan termasuk Pasir Gudang dan sekitarnya.
Bagi keperluan jangka panjang, kerajaan negeri merancang empat pembangunan sumber air mentah berjumlah 1,166 juta liter sehari untuk menyokong bekalan sehingga 2040.
Pembangunan enam loji rawatan air pula dijangka menambah pengeluaran sebanyak 1,048 juta liter sehari apabila semuanya siap dan beroperasi.
Daripada jumlah itu, LRA Pakej Semangar dan LRA Layang 2 Fasa 2 sedang dilaksanakan, dengan tambahan pengeluaran 210 juta liter sehari apabila siap.
Dalam bekalan elektrik, Tenaga Nasional Berhad turut merancang dan melaksanakan pembangunan empat pencawang masuk utama baru.
Bagaimanapun, Encik Mohamad Fazli menjelaskan kecukupan bekalan di sesuatu kawasan tetap bergantung pada keupayaan rangkaian serta kemudahan setempat.