PUTRAJAYA: Dua daripada tiga lelaki di Malaysia terdedah kepada masalah disfungsi erektil (ED), atau mati pucuk, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, 31.6 peratus lelaki Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengalami ED pada tahap sederhana sehingga tahap serius.
“ED merupakan satu isu yang agak kurang dibincangkan, tetapi merupakan penyakit yang semakin boleh dianggap serius dalam kalangan lelaki di Malaysia, dengan angka menunjukkan 69.5 peratus lelaki berumur 40 tahun ke atas mengalami ED,” katanya, lapor Astro Awani.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan garis panduan amalan klinikal (CPG) bagi pengurusan ED di Putrajaya pada 20 Mei.
ED atau juga disebut mati pucuk ditakrif sebagai ketidakupayaan untuk mendapatkan atau mengekalkan ereksi cukup lama untuk membolehkan hubungan seksual yang memuaskan.
Beliau menyeru individu yang mempunyai masalah ED supaya ke pusat kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan segera kerana hampir 70 peratus masalah ED menjadi punca penceraian.
Sementara itu, merujuk kepada garis panduan CPG bagi pengurusan ED, Datuk Lukanisman berkata ia dibangunkan bagi memastikan pesakit ED diberikan penjagaan kesihatan terbaik oleh pengamal kesihatan dengan ilmu dan kemahiran relevan berdasarkan saranan CPG.
Datuk Lukanisman berkata KKM melalui Bahagian Farmasi turut bekerjasama dengan platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok untuk memantau dan melarang penjualan ubat yang dikaitkan dengan masalah ED.
“Saya tegaskan bahawa ED ini adalah satu penyakit yang perlu dirawat seperti kencing manis, darah tinggi atau kolesterol, jangan jadikan ubat-ubatan (di platform e-dagang) untuk merawat ED ini sebagai bahan merangsang prestasi ataupun stamina seksual lelaki,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Malaysia dilaporkan berhadapan peningkatan kes penyakit gout yang kini menjadi krisis kesihatan awam, berikutan ia merupakan antara negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia.
Dianggarkan 4.35 juta orang menghidap gout di Asia Tenggara termasuk Malaysia, dengan jumlah kes penyakit itu meningkat 21 peratus dari 1990 hingga 2020.
Pakar Reumatologi dan Pakar Perubatan Dalaman di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr Lydia Pok Say Lee, berkata gout boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk penyakit ginjal, jangkitan dan kehilangan keupayaan bergerak jika tidak dirawat.
“Peningkatan kes ini menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran dan pencegahan awal, katanya.
Gout ialah sejenis penyakit keradangan artritis akibat asid urik berlebihan dalam darah, yang membawa kepada pembentukan kristal tajam pada sendi, mencetuskan kesakitan yang tiba-tiba pada waktu malam atau awal pagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg