Berlalunya sebulan sambutan Aidilfitri, maka tamatlah sudah pesta makan-makan.
Mulalah masing-masing gerun melihat angka pada alat timbang lalu menanam azam untuk menjaga pemakanan demi menurunkan berat badan.
Di media sosial, rata-rata terutama golongan wanita merungut banyak pakaian kian tidak muat dipakai kerana saiz badan semakin membesar.
Manakala kalangan lelaki pula mula boroi perut, dek gagal mengawal selera setiap kali melihat juadah raya ketika menziarahi keluarga mahupun di rumah terbuka.
“Bulan puasa turunlah tiga kilogram (kg), tapi habis raya laju saja tambah semula tiga kg. Nak turun (berat badan) susah, nak naik meroket (pantas) perginya”
“Insaf tengok berat badan di penimbang. Mulai esok aku nak diet, jangan ajak aku makan”.
Demikian antara coretan di media sosial mengenai isu berat badan.
Masalah berat badan akibat pengumpulan lemak berlebihan dalam tubuh atau juga disebut obesiti memang satu isu kesihatan yang semakin kritikal di Malaysia dan ia melangkaui jantina dan pelbagai peringkat usia.
Malah berdasarkan laporan terkini, Malaysia terus menduduki antara tangga teratas sebagai negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara.
Lebih membimbangkan, masalah obesiti turut meningkat dalam kalangan kanak-kanak, sekali gus memerlukan langkah pencegahan awal bagi mengelak risiko kesihatan, selain kurang keyakinan diri yang boleh menjejas pertumbuhan mereka.
Timbalan Dekan (Akademik Sains Kesihatan dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata data terkini menunjukkan Malaysia berada di tangga kedua di Asia Tenggara yang mencatat kadar obesiti tertinggi sebanyak 19.7 peratus, hanya di belakang Brunei yang mencatatkan kadar obesiti 28.2 peratus.
Katanya, ini menempatkan Malaysia sebagai antara negara dengan prevalens (peningkatan) obesiti tertinggi di rantau ini, mendahului negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
“Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 54.4 peratus penduduk dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, dengan pecahan 32.6 peratus berlebihan berat badan dan 21.8 peratus obesiti.
“Ini menunjukkan peningkatan hampir 10 peratus sejak 2011,” katanya kepada Berita Minggu (BM).
Malah, baru-baru ini Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mendedahkan kira-kira 80 peratus penjawat awam di Putrajaya mengalami masalah obesiti.
Masalah obesiti menurut Tan Sri Wan Ahmad Dahlan, bukan saja boleh menjejas kesihatan, bahkan akan menurunkan mutu perkhidmatan mereka.
“Apa yang kita buat bermula dengan badan yang sihat sekali gus fikiran kita boleh menghasilkan idea bernas. Jadi saya sarankan penjawat awam supaya amalkan gaya hidup sihat dengan bersukan dan jaga pemakanan,” katanya.
Badan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga menjadikan berat badan sebagai salah satu syarat untuk kenaikan pangkat, menunjukkan pentingnya tahap kesihatan yang baik dengan pengurusan berat badan ideal bagi melancarkan tugas mereka.
Jelas Profesor Dr Barakatun Nisak yang juga Presiden Persatuan Dietitian Malaysia (MDA), obesiti adalah keadaan kompleks dan pelbagai punca, yang berlaku akibat ketidakseimbangan tenaga berpanjangan dan dipengaruhi oleh bermacam faktor.
Ia termasuklah gaya hidup kurang pergerakan, corak pemakanan harian tidak sihat, faktor genetik, hormon, usia, penyakit tertentu (seperti hipotiroidisme), serta kesan sampingan ubat-ubatan seperti steroid atau antidepresan (ubat menangani tekanan).
Menurutnya, juadah raya seperti lemang, rendang, lodeh dan kuah kacang bukanlah penyebab utama obesiti, namun berisiko menyebabkan kenaikan berat badan jika diambil secara berlebihan dan berterusan.
“Ini kerana juadah ini bukan makanan harian, tetapi dinikmati secara bermusim dalam tempoh perayaan. Menyalahkan makanan tradisional semata-mata tidak tepat dan boleh mengaburkan pemahaman terhadap punca sebenar obesiti.
“Bagaimanapun, sekiranya makanan perayaan diambil secara berlebihan tanpa kawalan bahagian dan diikuti pula dengan corak pemakanan tinggi kalori yang berterusan selepas musim perayaan, maka risiko kenaikan berat badan tetap wujud.
“Maka yang penting ialah kesederhanaan, kawalan jumlah dan pemulihan semula rutin sihat selepas perayaan,” katanya yang turut menganggotai Jawatankuasa Pendidikan Dietetik Kebangsaan (NDEC).
Beliau turut berkongsi beberapa langkah praktikal untuk menguruskan berat badan dan kesihatan terutama selepas makan tanpa kawalan sepanjang bulan Syawal yang baru berakhir.
Katanya, perkara paling penting ialah memulakan amalan ‘pinggan sihat’ selain mengurangkan makanan ultra-proses seperti kuih bergoreng, minuman bergula dan makanan segera.
“Mulakan dengan ‘pinggan sihat suku suku separuh’ iaitu dengan membahagikan pinggan kepada separuh sayur-sayuran, suku protein dan suku karbohidrat kompleks. Gantikan snek manis dengan buah segar atau kekacang tanpa garam. Tingkatkan kesedaran sama ada rasa lapar yang dirasai itu adalah lapar sebenar atau lapar emosi.
“Cara makan juga iaitu makan secara perlahan dapat membantu mengawal nafsu makan dan memberi masa otak memberi isyarat kenyang. Jangan lupa bersenam dan bergerak aktif,” kongsinya.
Belum terlambat untuk memulakan gaya hidup sihat dengan menjaga pemakanan yang diambil setiap hari, di samping mengamalkan senaman ringkas atau pun berjalan pantas untuk mendapatkan kesihatan optimum.
Yang penting ialah tekad untuk bermula menjaga kesihatan.
Buang sifat malas dan fikirkan kesan jika anda jatuh sakit, tentunya akan memberi beban kepada keluarga.
Jadi, elakkan obesiti, buang perut boroi dan jom jalani hidup lebih sihat.
“
“Ini kerana juadah ini bukan makanan harian, tetapi dinikmati secara bermusim dalam tempoh perayaan. Menyalahkan makanan tradisional semata-mata tidak tepat dan boleh mengaburkan pemahaman terhadap punca sebenar obesiti. Bagaimanapun, sekiranya makanan perayaan diambil secara berlebihan tanpa kawalan bahagian dan diikuti pula dengan corak pemakanan tinggi kalori yang berterusan selepas musim perayaan, maka risiko kenaikan berat badan tetap wujud.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg