Dua Ahli Parlimen (AP) termasuk Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjadi antara 25 calon taruhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos ini.

Datuk Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, sementara AP Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, merangkap Pengerusi Umno Negeri Sembilan akan mempertahankan kerusi DUN Pertang.

Sebelas kerusi lagi dijangka ditandingi rakan persefahaman BN yang akan dimaklumkan pada malam 16 Julai.

Perkara itu diumumkan Datuk Mohamad pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan di Seremban, pada malam 15 Julai di Seremban, Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengikut jadual, Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon di Kompleks PAS Negeri Sembilan di Ampangan, Seremban.

Datuk Mohamad yang juga mantan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 14 tahun sejak 2004 hingga 2018, dan AP Rembau, berterima kasih atas kepercayaan diberikan parti untuk terus mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Kerusi yang ditandinginya sejak pilihan raya ke-11 pada 2004 itu menjadi kerusi tradisinya selama 22 tahun.

“Terima kasih Datuk Ahmad Zahid kerana terus beri kepercayaan kepada saya,” katanya pada majlis itu. 

Pada PRN 2023, Datuk Mohamad mempertahankan kerusi DUN Rantau selepas menewaskan calon PN, Encik Rozmal Malakan, dengan majoriti 10,280 undi.

Berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang menamakan Datuk Aminuddin sebagai calon yang akan kembali menggalas mandat Menteri Besar, sekiranya gabungan itu memenangi PRN Negeri Sembilan, BN tidak mengumumkan sebarang nama untuk diangkat sebagai ‘poster boy’.

Sementara itu, antara kerusi lain yang turut mencuri tumpuan ialah DUN Linggi, yang akan menyaksikan calon BN, Datuk Mohd Faizal Ramli, dicabar Menteri Besar Negeri Sembilan sementara merangkap Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

DUN Linggi adalah kerusi tradisi dan kubu BN sejak pilihan raya ke-4 pada 1974.

Dalam pada itu, Datuk Jalaluddin yang menjadi AP Jelebu selama dua penggal pernah berkhidmat sebagai ahli DUN Pertang dari 2013 hingga 2018, sebelum dicalonkan semula dalam PRN 2023 dan dipilih semula.

Sementara itu, calon DUN Chennah daripada Parti Cina Malaysia (MCA), Encik Siow Kong Choon, bakal berdepan Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, yang akan bertanding mempertahankan kerusi disandangnya sejak 2013.

PRN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 1 Ogos ini, dengan hari penamaan calon diadakan pada 18 Julai.