Pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada malam 14 Julai, mengesahkan kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun, yang akan kembali menerajui negeri itu sebagai Menteri Besar, sekiranya gabungan berkenaan memenangi pilihan raya pada 1 Ogos ini.

Lebih menarik, Datuk Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan mengambil langkah berani dan berisiko tinggi apabila bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah bertukar tangan.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat empat penggal sejak 2008 itu, menjadi pemimpin pertama diumumkan sebagai calon PRN Negeri Sembilan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada majlis pengumuman calon di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.

Turut diumumkan sebagai calon PH ialah Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) merangkap Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen (AP) Seremban, Encik Anthony Loke, yang akan mempertahankan kerusi DUN Chennah, yang disandangnya sejak 2013.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Datuk Anwar yang juga Perdana Menteri Malaysia, berkata Negeri Sembilan sudah ditadbir dengan baik di bawah kepimpinan Datuk Aminuddin dan yakin beliau mampu terus menerajui Negeri Sembilan dengan cemerlang sekiranya PH diberi mandat sekali lagi pada PRN kali ini.

Beliau berkata hubungan erat antara Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan Kerajaan Persekutuan akan memudahkan segala urusan pembangunan dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan demi kepentingan rakyat.

“Tak perlu runding terlalu lama atau hantar banyak surat. Kalau Tok Min (Datuk Aminuddin) ada masalah, terus telefon atau hantar pasukan, kita bincang dan selesaikan bersama.

“Masih banyak yang perlu dibangunkan di Negeri Sembilan. Kita sudah mulakan dengan baik, tetapi usaha itu boleh dipertingkatkan lagi.

“Negeri Sembilan tidak boleh ketinggalan. Tidak boleh ada lagi kelompok rakyat yang miskin, sekolah daif atau hospital yang tidak dapat kita bangunkan.

“Saya lebih mudah dan yakin bekerja dengan Tok Min, bukan untuk kepentingan beliau, tetapi demi rakyat Negeri Sembilan,” kata Presiden PKR itu.

Keyakinan PH terhadap kepimpinan Datuk Aminuddin yang juga AP Port Dickson itu turut diakui oleh tiga lagi pemimpin blok politik itu dalam ucapan mereka, iaitu Timbalan Pengerusi PH yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Encik Loke dan Pengarah Pilihan Raya PH merangkap Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari. 

Sementara itu, Datuk Aminuddin mengakui Linggi bukan kerusi selamat, namun yakin pengundi akan memberi sokongan kepadanya untuk berkhidmat di situ.

“Saya bertanding di situ untuk memastikan kemenangan untuk PH dan saya rasa ini peluang terbaik untuk memberikan khidmat kepada penduduk di Linggi, walaupun kita (PH) pernah kalah di situ,” katanya.

Antara calon lain yang mencuri tumpuan ialah dua pegawai Datuk Aminuddin, iaitu Setiausaha Politiknya, Encik Nor Azman Mohamad yang mengisi kerusi DUN Sikamat, selain Setiausaha Akhbarnya, Encik Ahmad Shahir Mohd Shah yang akan bertanding di DUN Paroi.

Sementara itu, Encik Loke yakin 11 calon DAP yang bertanding di PRN Negeri Sembilan mampu mengekalkan pencapaian cemerlang dengan menyapu bersih kesemua kerusi DUN yang bakal ditandingi.

Pada PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi DUN, sementara 14 kerusi dimenangi BN, dan lima kerusi oleh Perikatan Nasional (PN).