Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 kilang kicap, sos kotor di P. Pinang ditutup 14 hari untuk kali ke-8

Jan 23, 2025 | 12:06 PM
Perapan kacang soya diletakkan di atas lantai berlumut di hadapan tandas dan bilik air di kilang kicap berusia lebih 120 tahun dekat Jalan Patani, George Town, Pulau Pinang, ketika pemeriksaan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut. 
Perapan kacang soya diletakkan di atas lantai berlumut di hadapan tandas dan bilik air di kilang kicap berusia lebih 120 tahun dekat Jalan Patani, George Town, Pulau Pinang, ketika pemeriksaan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut.  - Foto NSTP

GEORGE TOWN (Pulau Pinang): Dua kilang pemprosesan kicap dan sos cili secara tradisional di daerah Timur Laut George Town, Pulau Pinang, diarah tutup serta-merta selama 14 hari berikutan penemuan najis tikus di sekitar premis.

Lebih mengejutkan, notis penutupan terbaru dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kepada kedua-dua kilang kicap dan sos berusia lebih 120 tahun itu bukan kali pertama, sebaliknya premis itu pernah diberi arahan sama sebanyak tujuh kali dalam tempoh 10 tahun ini.

Pemeriksaan pertama dijalankan pasukan penguatkuasaan kesihatan terhadap kilang di Jalan Patani itu mendapati kacang soya yang diperap dalam bakul, diletakkan di atas lantai di hadapan tandas dan bilik air.

Selain keadaan lantainya yang berlumut dan kotor, turut ditemukan ialah najis tikus dalam stor penyimpanan bahan mentah dan rak barangan, manakala di rak simpanan sos cili pula ditemukan perangkap tikus serta persekitaran yang tidak memuaskan.

Pekerja premis yang berusia 60-an tahun mendakwa pemilik kilang kini berada di luar negara dan beliau pula baru enam bulan bekerja di situ.

“Saya bekerja bagi memastikan stok diberi kepada pelanggan dan tidak mencampuri urusan perniagaan di sini.

“Kicap, sos cili dan taucu yang diproses di sini hanya bagi pasaran negeri di utara,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pemeriksaan terhadap kilang kedua di Jalan CY Choy, George Town, turut ditemukan najis tikus berhampiran rak pemprosesan sos cili, manakala pekerja lelaki di kilang itu tidak memakai baju ketika bertugas, malah tempat perapan kicap dan sos cili juga berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Pemilik premis yang enggan dikenali berkata kicap, sos cili dan cuka yang diproses secara tradisional itu dipasarkan di sekitar Pulau Pinang dan sering dijadikan ole-ole pengunjung.

“Saya akur dengan notis yang diterima dan berusaha melakukan pembersihan terutama kawalan haiwan perosak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Encik Mohd Zulhairel Mat Yusoff, berkata Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam itu juga turut dijalankan di serata Pulau Pinang.

“Kita dapati persekitaran kedua-dua premis tidak memuaskan, malah kilang kicap ini sudah beberapa kali diberi notis penutupan atas kesalahan sama.

“Kali ini, kita lihat bahan mentah di kededua premis diletakkan di atas lantai yang kotor, selain penggunaan bekas gentian bagi perapan juga dikhuatiri reput dan tidak sesuai digunakan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg