Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 lelaki didenda buat lucah dalam acara larian

Oct 7, 2024 | 3:08 PM
Sebahagian tangkap layar insiden lelaki berpakaian menjolok mata pada acara Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, Johor, pada 4 Oktober lalu yang cetuskan kontroversi.
Sebahagian tangkap layar insiden lelaki berpakaian menjolok mata pada acara Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, Johor, pada 4 Oktober lalu yang cetuskan kontroversi. - Foto NSTP

KOTA TINGGI: Dua lelaki warga asing didenda RM5,000 ($1,538) di Mahkamah Majistret Kota Tinggi, Johor, selepas mengaku salah atas tuduhan melakukan perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran kepada awam dengan berpakaian menjolok mata ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, 4 Oktober lalu.

Majistret NurKhalida Farhana Abu Bakar pada 7 Oktober menjatuhkan hukuman itu terhadap warga emas dari Taiwan, Arthur Wang, 66 tahun, dan warga India, Satanarayana Prasad Papoli, 70 tahun.

Kededua mereka turut berdepan satu bulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Kontroversi tercetus selepas gambar dan video didakwa memaparkan sekumpulan penari wanita membuat persembahan dengan pakaian menjolok mata, selain terdapat peserta mengenakan pakaian seperti sokong lesbian, gay, biseksual transgender (LGBT) pada acara larian itu tular.

Wang dan Prasad Papoli didakwa melakukan perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain di tempat awam dengan berpakaian menjolok mata di jalan utama Desaru dan perkarangan Lotus Desaru Hotel, di Pengerang, antara 4 hingga 6 petang, 4 Oktober lalu, lapor Berita Harian Malaysia.

“Saya minta maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas kesalahan ini sehingga menyinggung perasaan rakyat di negara ini dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” kata Wang dan Prasad Papoli.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menegaskan Johor tidak akan bertolak ansur dengan acara tidak senonoh serta lucah seperti yang tular membabitkan program larian di Bandar Penawar, Kota Tinggi itu.

“Tindakan sudah diambil dan pelakunya sudah ditahan. Tiada toleransi di Johor,” katanya.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata semua pihak perlu sentiasa menghormati dan memahami sensitiviti umat Islam khususnya dalam ketetapan hukum hakam dan nilai fitrah insan dan penganjuran sebarang acara yang boleh mencetuskan polemik dan menggugat kedaulatan agama Islam perlu dielakkan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan program larian didakwa disertai pelancong asing berpakaian kurang sopan dan mempromosi budaya LGBT bukan anjuran kerajaan negeri dan pihaknya memandang serius isu itu dan meminta polis mengambil tindakan lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg