Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Guru agama’ akui kesalahan seksual terhadap gadis 15 tahun

Sep 9, 2024 | 8:23 PM
Kamsari Jumari, 62 tahun, disabit empat kesalahan seksual mengeksploitasi kanak-kanak bawah umur di Mahkamah Tinggi.
Kamsari Jumari, 62 tahun, disabit empat kesalahan seksual mengeksploitasi kanak-kanak bawah umur di Mahkamah Tinggi. - Foto ST

Seorang wanita menghantar empat orang anaknya ke kelas agama di bawah bimbingan rakan sesama penghantar makanan dengannya, setelah mendapat tahu lelaki itu kononnya mengajar agama di rumahnya. 

Kelas agama itu sebahagiannya bertujuan mendidik anak perempuan beliau yang berusia 15 tahun.

Sebaliknya, flat tempat lelaki berusia 60 tahun itu inap turut menjadi tempat untuknya mendera remaja itu secara seksual selama tiga bulan.

Flat tersebut milik sukarelawan sebuah badan amal, yang membenarkan lelaki itu tinggal di sana pada 2021.

Lelaki itu, Kamsari Jumari, kini berusia 62 tahun, mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi pada 9 September atas empat pertuduhan melakukan kesalahan seksual dengan mengeksploitasi kanak-kanak bawah umur.

Sebanyak 11 tuduhan lain akan diambil dalam pertimbangan apabila hukuman dijatuhkan.

Pendakwa raya menggesa Mahkamah Tinggi supaya mengenakan tempoh maksimum tahanan pencegahan selama 20 tahun.

Ini ekoran rekod jenayahnya yang banyak, termasuk bersabit kesalahan mencuri, jenayah seks dan kesalahan berkaitan dadah, lapor The Straits Times.

Kesalahan semasa berlaku antara Januari dengan April 2022.

Sebagai hukuman ganti sebatan, pihak pembelaan memohon hukuman penjara selama 15 tahun dengan tambahan lapan bulan kerana Kamsari sudah berusia lebih 50 tahun dan tidak boleh dikenakan sebatan.

Mahkamah diberitahu ibu mangsa mengenali Kamsari sejak akhir 2021 kerana mereka sama-sama menghantar makanan yang dipesan dan mendapat tahu dia mengajar ‘ilmu agama’ di rumah. 

Pada Januari 2022, anak perempuannya melarikan diri dari rumah tetapi ditemui polis beberapa hari kemudian.

Apabila wanita itu memberitahu Kamsari tentang perkara tersebut, dia mencadangkan supaya mangsa menghadiri ‘kelas agamanya’.

Kamsari bukan guru agama Islam bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dan dia juga tidak memberitahu ibu mangsa tentang hal itu.

Ibu mangsa membayar $500 kepada Kamsari untuk kelas itu dari Januari hingga April 2022. 

Semasa adik-beradik mangsa menonton televisyen di ruang tamu, Kamsari akan memanggil mangsa ke biliknya untuk “sesi kaunseling” dan kemudian bertanya beberapa soalan seksual kepada mangsa dan menunjukkan video-video lucah melalui telefon bimbitnya.

Setelah itu, dia akan mulakan perbualan lucah. Dia sering memanggil mangsa ke dalam bilik ketika adik-adiknya sedang menonton televisyen di ruang tamu dan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa.

Hal ini menjadi tidak terkawal dan berlarutan menjadi tindakan sumbang yang lain. Mangsa hanya mengikut perintah Kamsari supaya tidak memberitahu sesiapa kerana berasa bahawa ia adalah satu kesilapan dan takut dimarahi oleh bapanya.

Pada 17 April 2022, ibu mangsa terkejut melihat mesej-mesej lucah yang dihantar oleh Kamsari kepada mangsa melalui Telegram. 

Mangsa mengaku Kamsari mencabulnya secara seksual semasa ‘kelas agama’.

Pada hari yang sama, ibu mangsa membawanya ke balai polis untuk membuat laporan.

Peguam bela, Encik Lee Shen Han, berkata Kamsari sangat mengambil berat terhadap mangsa dan sepertinya terjalin satu “hubungan romantik” antara kededua pihak. 

Hakim Dedar Singh Gill berkata adalah wajar untuk melindungi orang ramai sementara Kamsari ditahan dalam tahanan untuk tempoh masa yang lama.

Beliau menggesa laporan dikemukakan mengenai keadaan fizikal dan mental Kamsari, serta kesesuaiannya untuk tahanan pencegahan.

Hukuman akan ditangguhkan sehingga laporan itu dihantar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg