ALOR SETAR (Kedah): Terdapat 28 kesan tikaman dan kelar pada mayat seorang wanita dan seorang lelaki mangsa bunuh di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan, Kedah, pada 11 September.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Baderulhisham Baharudin, berkata terdapat 20 kesan tikaman dan kelar pada mayat wanita manakala lapan kesan tikam dan kelar pada mayat lelaki menggunakan senjata tajam.
Katanya, wanita berusia 28 tahun itu cedera di dada, leher, tangan dan kaki manakala lelaki itu pula cedera di dada, leher serta belakang badan.
Menurut DCP Baderulhisham, siasatan mengesahkan suspek adalah suami kepada wanita terbabit dan mereka mempunyai dua orang anak lelaki berusia dua hingga empat tahun hasil perkahwinan di negara jiran pada 2019.
“Suspek berusia 29 tahun itu sudah ditahan pada 13 September dan berasal dari sebuah negeri di pantai timur.
“Siasatan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau bagi Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.
“Susulan itu, polis turut merampas senjata berukuran 24 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kes pembunuhan ini yang ditemui di kawasan semak di Sungai Petani, sejurus penahanan reman suspek dilakukan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 14 September.
DCP Baderulhisham berkata motif kejadian dipercayai suspek dikatakan cemburu dengan mangsa lelaki yang mati ditikam itu kerana mempercayai kedua-dua mangsa mempunyai hubungan sulit.
Beliau berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian wanita adalah akibat tikaman di dada, manakala lelaki itu pula maut akibat tikaman di leher.
“Suspek ada rekod lampau mencederakan mangsa (lelaki) sebelum ini dan suspek pernah ditangkap Ogos lalu tetapi diberi ikat jamin kerana laporan perubatan masih belum lengkap,” katanya lapor Harian Metro.
DCP Baderulhisham berkata daripada siasatan pihaknya mempercayai suspek menghubungi mangsa untuk pergi ke tempat kejadian sebelum kedua-duanya dibunuh.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita dan lelaki ditemui maut dengan beberapa kesan tikaman di hadapan sebuah rumah penduduk di Taman Nona, Guar Chempedak, Yan sekitar 9.40 malam, 11 September.
Cik Nurul Nur Syamira Khamis, 28 tahun, ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta jenis Proton Wira manakala rakan lelakinya, Encik Ku Asyraf Ku Shuib, 30 tahun, pula ditemui di atas jalan di taman perumahan itu.
Jarak lokasi mangsa lelaki dengan kereta adalah kira-kira tujuh meter.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg