Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 dituduh bunuh koperal polis di Kedah

Aug 25, 2025 | 2:30 PM
4 penjenayah, bunuh koperal polis, Kedah 
Anggota polis membawa empat suspek untuk didakwa atas tuduhan melanggar seorang anggota polis di Kedah, Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan (foto sisipan), hingga maut di Mahkamah Alor Setar, Kedah, pada 25 Ogos. - Foto BERITA HARIAN MALAYSIA

ALOR SETAR (Kedah): Empat rakan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah, pada 25 Ogos, atas tuduhan membunuh seorang anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dalam percubaan menangkap mereka yang berakhir dengan tragedi pada 7 Ogos lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas tuduhan ke atas Muhamad Badry Muhamad Azami, 24 tahun; Mohamad Hafiz Khazli, 26 tahun; Badri Iman Abdul Nasir, 25 tahun; dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34 tahun, dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.

Mengikut tuduhan, mereka secara bersama didakwa membunuh anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 3.43 petang, 7 Ogos lalu, di hadapan sebuah rumah di Taman Golf, Alor Setar, lapor Berita Harian Malaysia.

Berikutan itu, suspek didakwa melakukan kesalahan bunuh yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun.

Mahkamah menetapkan 23 November sebagai tarikh sebutan semula dan pemindahan kes bagi sebutan semula di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis maut dirempuh kereta penjenayah ketika sedang menjalankan tugas menahan suspek kes pecah rumah yang cuba melarikan diri berhampiran Taman Golf, Alor Setar, pada 7 Ogos lalu.

Mangsa dari JSJ IPK Kedah, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar kenderaan dipandu suspek.

Ketua Polis Kedah, Pesuruhjaya Adzli Abu Shah, sebelum ini dilaporkan berkata seorang suspek berjaya ditahan di tempat kejadian, manakala tiga lagi melarikan diri menggunakan kenderaan sama yang mengalami kerosakan akibat insiden itu. 

Semua suspek, berusia antara 24 hingga 26 tahun, dipercayai berasal dari Johor dan hasil siasatan mendapati salah seorang suspek mempunyai 77 rekod lampau, kebanyakannya membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan.

Encik Adzli berkata dua lagi masing-masing mempunyai 30 dan enam rekod, manakala seorang lagi mempunyai dua rekod lampau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg