Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 rakan dipenjara 10 tahun, tiga sebatan dalam kes rompak guru guna parang di Sabah

Mar 27, 2024 | 11:00 AM
Hamzah (tengah) dan Mohd Hafis (kanan) dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan rompak berkumpulan menggunakan senjata.
Hamzah (tengah) dan Mohd Hafis (kanan) dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan rompak berkumpulan menggunakan senjata. - Foto NSTP

TAWAU (Sabah): Dua sahabat masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mac selepas mengaku salah merompak guna parang ke atas seorang guru wanita di Kampung Pasir Putih di sini pada 15 Mac lalu.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah Muhamad Hafis, 20 tahun, dan warga asing, Hamzah Azri, 43 tahun, dan mensabitkan mereka dengan tuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan tuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap barang peribadi Cik Nurhayati Sakka, 55 tahun, guru Kolej Vokasional Tawau, iaitu sebuah beg tangan, dompet, empat keping kad debit, selain masing-masing satu keping kad kredit, kad pengenalan, kad kesihatan, lesen memandu dan buku bank akaun Simpanan Lembaga Tabung Haji.

Semasa rompakan itu, mangsa yang mahu keluar ke kolej pada 5.40 pagi telah didatangi dua individu tidak dikenali (tertuduh) sebelum diserang dan dijerut menggunakan tali nylon selain dipukul beberapa kali menggunakan kayu di bahagian kepala dan tangan sebelum beg tangannya dirampas.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah amat serius sehingga mengakibatkan mangsa mengalami trauma selain demi kepentingan awam.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan masing-masing memohon agar hukuman diringankan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 18 Mac selain memerintahkan Hamzah dirujuk ke Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg