KUALA LUMPUR: Membimbangkan apabila hampir 20,000 murid dan pelajar sekolah di Malaysia dikesan terbabit dalam aktiviti penggunaan rokok elektronik atau vape sepanjang 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan, Encik Wong Kah Woh, berkata perangkaan tersebut berdasarkan rekod yang terdapat dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).
Berdasarkan angka pada laporan SDDM itu, ia menunjukkan trend (budaya) menghisap vape semakin meningkat dalam kalangan pelajar.
“Bagi vape, kami tidak menafikan bahawa ia satu trend yang meningkat. Pada 2024, seramai 19,450 murid dilaporkan terbabit menghisap vape.
“Ini merupakan 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan murid di bawah KPM (Kementerian Pendidikan),” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (AP) pembangkang Kulim Bandar Baharu (Kedah), Encik Roslan Hashim, mengenai statistik pembabitan murid sekolah dengan rokok elektronik di Dewan Rakyat, lapor Kosmo!
Namun, kata Encik Wong, bagi masalah merokok dalam kalangan murid sekolah, ia mencatatkan penurunan pada 2024.
Mengikut data SSDM katanya, seramai 3,704 murid bersamaan 0.07 peratus daripada keseluruhan murid dikesan terjerumus dalam kegiatan merokok.
“Untuk semua kes yang saya nyatakan, boleh nampak bahawa trend murid terlibat dalam merokok menurun, tetapi untuk vape adalah meningkat.
“Untuk semua kes terbabit juga, KPM melalui sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil tindakan terhadap murid berkenaan dengan berpandukan garis panduan dan juga surat siaran yang sedia ada,” katanya.
Portal berita MalaysiaGazette melaporkan pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad, menyifatkan keadaan murid dan pelajar sekolah yang terlibat dengan pengambilan vape hari ini adalah lebih buruk berbanding data yang diperolehi menerusi SSDM oleh KPM.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata data yang lebih baik bagi merujuk kepada permasalahan vape dalam kalangan pelajar sekolah adalah data rasmi daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya kajian pasukan penyelidik Institute for Public Health, National Institutes of Health, KKM, menunjukkan kadar remaja yang berusia antara 14 hingga 17 tahun yang terlibat dengan vape sebenarnya jauh lebih tinggi.
Sebagai contoh, kata beliau pada 2017 iaitu kira-kira tujuh tahun lalu, kadar remaja terlibat dengan vape yang direkodkan secara rasmi oleh KKM ialah sebanyak 9.8 peratus.
Bagaimanapun, ujarnya pada 2022, data KKM menunjukkan kadar itu telah meningkat kepada 14.9 peratus.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg