KANGAR: Seorang pelajar berusia 14 tahun yang dipercayai khayal selepas menghisap e-rokok, atau ‘vape’, terjatuh dari bumbung tingkat satu bangunan sebuah sekolah menengah di Kangar, Perlis.
Pengarah Pendidikan Perlis, Cik Rose Aza Che Ariffin, berkata kejadian itu berlaku sekitar 11 pagi pada 13 November di blok pelajar sekolah itu.
“Berdasarkan keterangan pelajar itu, dia ada menghisap ‘vape’ dalam kelas ketika waktu rehat di sekolah dan berikutan perbuatannya itu, dia berasa khayal.
“Dia kemudian turun dari tingkat satu bangunan sekolah itu menggunakan laluan bumbung, namun akibat khayal dia terjatuh dan luka ringan di kakinya,” kata beliau, lapor Harian Metro.
Cik Rose berkata selepas terjatuh, pelajar tingakatan dua berkenaan menjadi tidak terkawal dan meracau hingga memaksa pentadbiran sekolah menghubungi polis.
“Polis membawa pelajar berkenaan ke Klinik Kesihatan Kangar untuk pemeriksaan dan keputusan ujian air kencingnya negatif daripada pengaruh dadah. Kami bekerjasama dengan polis menyiasat perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Penolong Pesuruhjaya Yusharifuddin Mohd Yusop, mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan masih disiasat.
Menurut sumber, ‘vape’ yang digunakan pelajar berkenaan mengandungi dadah sintetik bahaya yang penggunaannya kini menjadi trend dalam kalangan pelajar sekolah.
Pada 5 November, kerajaan Malaysia mendedahkan bahawa 14,617 murid dikesan terbabit dalam salah laku gejala merokok dan ‘vape’ sepanjang sembilan bulan pertama 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan, Encik Wong Kah Woh, berkata jumlah itu membentuk 0.29 peratus daripada 5.1 juta murid yang direkodkan bersekolah pada 2024.
Encik Wong berkata Kementerian Pendidikan sudah mengeluarkan beberapa garis panduan yang wajib dipatuhi oleh sekolah bagi menangani isu merokok dalam kalangan murid.
Menghisap ‘vape’ dilarang di Malaysia bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg