Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

22,000 ikan bandaraya ditangkap di sungai Selangor sejak 2 tahun

Spesies ikan air tawar ganggu ekosistem sungai, boleh akibat tanah runtuh dan banjir
May 20, 2025 | 5:39 PM
Populasi ikan bandaraya boleh mengakibatkan kematian kerana apabila ia membiak dengan cepat ia boleh menyebabkan tebing sungai terhakis dan runtuh, menyebabkan banjir dan kerosakan kepada rumah. 
Populasi ikan bandaraya boleh mengakibatkan kematian kerana apabila ia membiak dengan cepat ia boleh menyebabkan tebing sungai terhakis dan runtuh, menyebabkan banjir dan kerosakan kepada rumah.  - Foto BHM/JABATAN PERIKANAN NEGERI SEMBILAN

SEREMBAN: Selangor merekodkan tangkapan ikan asing terutama ikan bandaraya atau nama saintifiknya Hypostomus plecostomus tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia iaitu 22,000 ekor sejak kegiatan memburu ikan itu di perairan sungai dimulakan pada Januari 2022.

Pengasas Pertubuhan Komuniti Pemburu Ikan Asing, Encik Muhammad Haziq A Rahman, berkata ia disusuli Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

“Sejak misi memburu ikan asing ini dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perikanan negeri, kita berjaya menangkap lebih 40,000 ekor ikan bandaraya dengan Selangor merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 22,000 ekor.

“Kita dapati spesies ikan asing terutama ikan bandaraya ini sudah menguasai ekosistem sungai di negeri pantai barat Semenanjung.

“Jadi, usaha memburu ikan asing ini akan diteruskan dalam usaha kita memulihkan semula sungai daripada dicemari spesies ikan ini,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM) pada 20 Mei.

Encik Muhammad Haziq berkata, kerajaan negeri lain sepatutnya mengikut langkah Selangor yang menawarkan insentif RM1 bagi setiap satu kilogram tangkapan ikan bandaraya.

Cara itu dapat menggalakkan masyarakat turun padang menyelamatkan ekosistem sungai daripada ancaman ikan asing tersebut.

Pihak berkuasa Malaysia telah mengisytiharkan kerja memburu spesies invasif tersebut yang boleh mengancam spesies ikan air tawar lain.

Populasi ikan tersebut boleh mengakibatkan kematian kerana apabila ia membiak dengan cepat ia boleh menyebabkan tebing sungai terhakis dan runtuh, menyebabkan banjir dan kerosakan kepada rumah.

“Kami tidak mampu mengadakan gerakan menangkap ikan ini sepenuhnya kerana mempunyai kekangan masa dan sumber tenaga.

“Jadi, galakan yang diberikan Selangor dalam usaha mengurangkan ikan bandaraya ini wajar dicontohi kerana ia dapat menarik penyertaan lebih ramai penduduk untuk bersama-sama menangkapnya, sekali gus membersihkan semula ekosistem sungai,” katanya.

Sementara itu, Encik Muhammad Haziq berkata, terdapat beberapa sungai di kawasan Kampung Kayu Ara Mambau, Negeri Sembilan, Malaysia sudah dikategorikan sebagai zon merah apabila dalam tempoh satu jam sahaja, sebanyak 1,000 kilogram ikan bandaraya berjaya ditangkap.

“Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kerana ia menjejaskan kehidupan ikan lain di sungai terbabit, sekali gus menjejaskan nelayan kecil,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg